‘2017’ Saya mahu Pulau Pinang di Liga Super – Matias

_mg_5373Ketua pasukan Pulau Pinang, Matias Cordoba, beri jaminan moral rakan-rakan sepasukan kekal utuh bagi hadapi Terengganu biarpun sebahagian peminat bimbang tahap keyakinan pasukan sudah mula menurun selepas gagal menang dalam empat aksi terakhir. Jelasnya, matlamat memastikan Pulau Pinang kekal di Liga Super pada tahun depan menjadi pemangkin semangat buat mereka semua meneruskan latihan dengan penuh komitmen menjelang aksi 22 Oktober ini.

Di minda Matias hanya satu iaitu pada 2017, Pulau Pinang terus kekal di Liga Super dan tidak rela melihat persinggahan mereka sekadar terhenti selama satu musim.

“Moral masih tinggi dalam kalangan pemain menjelang perlawanan terakhir liga kerana kami tahu begitu penting perlawanan ini demi masa depan kami dan pasukan Pulau Pinang sendiri. Sudah tentu kami jangkakan perlawanan paling sukar serta tekanan yang tinggi namun harap semua boleh memberikan 100 peratus fokus dan meraih tiga mata.

Bila sudah tidak menang dalam empat perlawanan, sudah tentu moral kebanyakan pemain serba sedikit akan jatuh tetapi kes ini berlainan sama sekali. Semua rakan sepasukan saya masih fokus kerana kami semua punyai objektif yang sama iaitu pada 2017, Pulau Pinang masih berada di Liga Super, saya percaya rakan sepasukan mampu menang nanti di Bandaraya,” katanya.

_mg_8865Dalam masa sama, dia mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan terutama Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff yang memberikan sokongan kepada semua pemain sejak bermula awal musim walaupun keputusan pasukan tidak menentu.

Tambahnya, jika mereka mampu memastikan slot Liga Super kekal menjadi milik Pulau Pinang, itu akan menjadi hadiah terbaik kepada pihak pengurusan FAP.

“Presiden dan pengurusan sentiasa memastikan kebajikan pemain berada di tahap terbaik sepanjang tahun ini malahan tidak putus-putus berikan sokongan. Kali ini giliran kami pula bantu mereka dengan mempertahankan maruah pasukan daripada terjerumus ke Liga Perdana pada musim depan,” katanya.

Selain itu, Cordoba mengharapkan Stadium Bandaraya pada 22 Oktober ini akan dipenuhi ribuan penyokong setia Pulau Pinang yang sentiasa berada di belakang pasukan sepanjang musim ini.

“Saya cukup hormati penyokong Pulau Pinang kerana masih belum berputus asa dengan kami, tidak kira apa jua yang sedang kami lalui sekarang. Walaupun musim ini bukan yang terbaik buat kami, saya harap mereka akan terus setia bersama pasukan pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Bandaraya,” katanya.

Print