Gantung FAM: Terengganu, P. Pinang berbeza pendapat

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Dua persatuan bola sepak negeri memberi reaksi yang berbeza mengenai cadangan menggantung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas pasukan kebangsaan menunjukkan prestasi memalukan sewaktu menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Menyokong penuh cadangan itu ialah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang menegaskan, sekiranya FAM masih tidak mampu untuk mengubah atau berbuat sesuatu ke arah kecemerla­ngan bola sepak negara, mereka yang berkenaan perlu meletak jawatan.
Presidennya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, cadangan yang dibuat oleh Khairy Jamaluddin berdasarkan kapasi­tinya sebagai Menteri Belia dan Sukan yang berkuasa penuh terhadap pembangunan sukan negara perlu dipandang serius semua pihak.
“Sudah semestinya mereka letak jawatan saja kalau masih gagal menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan, mereka kenalah profesional demi masa depan bola sepak Malaysia. Kalau mereka rasa dah tak boleh buat apa-apa, kenalah berundur.
“Lagi satu, FAM perlu ambil iktibar dengan kekalahan teruk ini, badan induk itu kena bersungguh dan bermati-matian untuk membudayakan sukan bola sepak dalam masyarakat.
“Ini kerana, apa yang kita tengok hari ini, pemain yang ada masih muka sama. Sedangkan ramai lagi bakat-bakat baharu yang perlu diketengahkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) berpendapat, tindakan menggantung FAM hanya memburukkan lagi situasi bola sepak negara.
Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff berkata, keputusan itu jika dilakukan boleh menyebabkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menarik balik lesen bagi penganjuran liga bola sepak tempatan.
Perkara itu, jelas beliau, sekali gus akan menyebabkan kesemua kelab bola sepak di negara ini tergantung dan pemain-pemain bola sepak tempatan juga tidak lagi boleh beraksi.

11893825_1142651472418968_7676517899107179677_o
“Kita memahami kekecewaan Menteri Belia dan Sukan ekoran prestasi memalukan skuad kebangsaan dalam perlawanan menentang UAE baru-baru ini.
“Tetapi tindakan menggantung FAM bukanlah jalan penyelesai­an terbaik, sebaliknya hanya akan menyebabkan mutu dan prestasi pasukan bola sepak kita semakin buruk,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Nazir Ariff, skuad Harimau Malaya masih boleh dise­lamatkan dengan langkah utama merombak dan memperkukuhkan semula pengurusan FAM.
Kata beliau, sudah tiba masanya FAM diterajui oleh mereka yang benar-benar mempunyai idea, kesungguhan dan semangat untuk melihat skuad bola sepak negara mampu bersaing di pentas antarabangsa.
Semalam, Khairy meluahkan rasa kesalnya terhadap kekalahan memalukan 10-0 skuad Harimau Malaya kepada UAE dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia di Abu Dhabi hujung minggu lalu sehingga membayangkan mengambil langkah drastik menggantung FAM.

Print