Akan ada rombakan! – Bojan Hodak

_MG_0015_wmLatihan sulung Pulau Pinang di bawah Bojan Hodak dan Nenad Bacina berjalan lancar di Stadium Bandaraya pada Selasa di sebelah malam.

Perkara paling jadi perhatian kedua-dua pengendali dari Croatia ini ialah fizikal pemain yang menjadi salah satu kriteria utama pemilihan yang akan dikekalkan di dalam pasukan.

Menurut Bojan, rombakan pasti akan berlaku yang membabitkan pemain tempatan namun dia masih belum pasti berapa ramai yang terpaksa dilepaskan.

“Berdasarkan pemerhatian awal daripada beberapa perlawanan, saya mungkin akan berbincang dengan pihak pengurusan dan jika mereka bersetuju, ada beberapa pemain tempatan yang akan digugurkan. Situasi ini perlu diambil bagi perkuatkan cabaran pasukan dalam menghadapi saingan Liga Super agar fokus untuk kita kekal mampu tercapai.

Mana-mana pemain yang akan dilepaskan, mereka akan dibayar sejumlah pampasan tertentu, semuanya bergantung kesediaan pihak pengurusan dan saya akan cuba mendapatkan pengganti yang sesuai,” katanya.

Bagi pemain import, Bojan berkata dia perlu menilai keempat-empat pemain sedia ada dalam pasukan sepanjang sesi latihan sebelum membuat keputusan. Tambahnya, dia belum ada senarai calon import terbaharu dan hanya akan berbuat demikian jika berpendapat pemain sedia ada perlu digugurkan.

_MG_0277_wm“Saya rasa setakat ini tidak boleh bercakap apa-apa mengenai pemain import kerana mahu melihat sejauh mana kemampuan mereka. Perkara ini saya akan berbincang dengan Bacina dan pihak pengurusan, jika rasa memang perlu kita tukar, kita akan tukar. Jika tidak, saya rasa semua pemain import ini masih boleh beraksi,” katanya.

Mengenai perancangan jangka panjang bersama Pulau Pinang, Bojan berharap satu hari nanti skuad Harimau Kumbang mempunyai padang latihan sendiri. Sebagai sebuah pasukan yang telah lama beraksi di tanah air, dia akui Pulau Pinang seharusnya perlu bergerak ke arah tersebut.

“Buat masa ini, saya perasan Pulau Pinang sentiasa tiada lokasi tetap untuk menjalani latihan, jadi agenda ini menjadi keutamaan saya selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Tujuan saya di sini bukan sahaja bagi memantapkan prestasi pasukan untuk jangka masa pendek namun bertindak membantu pembangunan bola sepak Pulau Pinang ke arah lebih profesional,” katanya.

Print