Along Harap Tuah Perkahwinan

Masih segar dengan perkahwinan dilangsungkan pada penghujung bulan lalu, ketua pasukan Pulau Pinang, Mohd. Rafiuddin Roddin, berharap kejayaan ke atas PKNS pada Sabtu akan jadi hadiah terbaik buat dirinya.

Yakin mereka ada kemampuan mendapat tiga mata berdepan skuad The Red Ants, Rafiuddin yang baharu menggalas tugas kapten melihat kejayaan ke Liga Super musim depan menjadi motivasi terbaik untuk melakar sesuatu di Piala Malaysia.

Tidak pandang rendah cabaran pasukan yang dikendali E.Elavarasan itu, Rafiuddin atau lebih mesra disapa Along mahu permulaan Pulau Pinang lakukan permulaan sempurna pada saingan Kumpulan D.

” Bila saingan Piala Malaysia membuka tirai, memang ada rasa satu kelainan kerana saya kini sudah bergelar suami.

” Ini pasti beri saya satu semangat yang berlainan apabila turun dalam aksi pertama dengan PKNS.

“Tiada apa yang lebih bermakna dengan meraih kemenangan bila bertemu PKNS dan memberi kegembiraan kepada peminat Pulau Pinang,” katanya.

Pada musim lalu, Pulau Pinang sekadar mengakhiri saingan di tangga terakhir kumpulan di belakang JDT, Kelantan dan ATM.

Justeru, dia mahu mereka mampu melepasi saingan peringkat kumpulan atau sekurang-kurangnya ke suku akhir.

” Tahun lepas memang undian sukar kerana berada dalam kumpulan maut dan hanya kami sahaja dari Liga Perdana.

” Namun nampak kami ada peluang untuk musim ini dan optimis mampu menempatkan diri di tempat kedua kumpulan.

“Peluang tampak terbuka kerana bertemu PDRM dan PKNS, kami ada kemampuan meraih tiga mata jika manfaatkan aksi di tempat sendiri,” katanya.

Print