Berjaya ke Liga Super , FAP Terima Insentif PBAPP RM3juta

11891247_1138385112845604_433494985524062928_n (1)

GEORGE TOWN – Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) hari ini menerima suntikan insentif RM3 juta daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Penyampaian cek insentif disempurnakan oleh Pengurus Besar PBAPP, Ir. Jaseni Maidinsa di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dan Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff di Komtar.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, barisan Exco Kerajaan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus.

Bendahari FAP, Datuk M. Murly dan ahli-ahli Exco FAP turut sama dalam majlis ringkas penyampaian insentif itu.

11222289_1138384246179024_2842265187151654594_n

Guan Eng sementara itu menyifatkan pemberian insentif sebanyak RM3 juta sebagai meraikan kejayaan Skuad Harimau Kumbang ke Liga Super bagi musim hadapan.

“Tahniah skuad Pulau Pinang kerana berjaya mencapai matlamat dari Liga Perdana ke Liga Super untuk musim hadapan.

“Kejayaan yang dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak Pulau Pinang, walaupun sukar, saya berharap skuad Pulau Pinang dapat kekal dalam Liga Super,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Nazir Ariff menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi Kerajaan Negeri dan PBAPP sehingga berjaya ke Liga Super pada musim depan.

11889525_1138384256179023_8111510524019705115_n

“Terima kasih kepada Ketua Menteri, PBAPP, PDC dan seluruh penyokong termasuk ahli-ahli FAP atas sokongan yang jitu sepanjang musim lalu.

“Begitu juga kepada Dato’ (Mohd. Rashid), Chong Eng (Exco Belia dan Sukan) dan Dr. Afif Bahardin (Exco Kesihatan) kerana selalu datang ke stadium menonton perlawanan pada musim lalu.

“Kami di FAP pastinya berharap agar Kerajaan Negeri dan PBAPP dapat terus memberi sokongan untuk mengorak kejayaan seterusnya dalam Liga Super nanti,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Nazir Ariff turut mengumumkan dua pemain Pulau Pinang yang bakal menyertai Skuad Kebangsaan, iaitu Mohd. Faiz Subri dan Yong Kuong Yong.

Tahniah Skuad Harimau Kumbang. Haria Penang Haria!

11908418_1138384466179002_6727396784568000020_n

Print