Berjuang Mati-Matian

Janji ketua pasukan Pulau Pinang, Sani Anuar Kamsani, hanya satu iaitu  berjuang habis-habisan berdepan JDT II dalam mencari tiga mata penuh di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Menyedari saingan bertambah sengit, dia mengakui skuad Harimau Kumbang perlu segera menamatkan kemarau tanpa sebarang kemenangan sejak empat perlawanan.
Bagi Sani, rakan-rakan sepasukannya dilihat tambah bersemangat selepas berjaya meraih keputusan seri tanpa jaringan dengan Kedah di Stadium Darul Aman walaupun kekurangan seorang pemain sepanjang 60 minit perlawanan.
“Baki lima perlawanan yang tinggal, kami kena mengutip mata semaksima mungkin sambil mengharapkan ada peluang merapatkan jurang dengan dua pasukan teratas.
“Memang kami berasa semakin tertekan namun itu tidak membuatkan kami untuk mengalah dengan apa yang berlaku, harap pertemuan menentang JDT II menjadi faktor kebangkitan Pulau Pinang.
“Tiada istilah takut dengan kualiti pemain yang ada pada JDT II kerana kami juga sebenarnya ada pemain yang boleh mengejutkan lawan,azam kami mahu bahawa tiga mata penuh ke Pulau Pinang ” katanya.
Diberikan peranan selaku kapten selepas Redzuan Nawi mendapat kecederaan ACL(Anterior Cruciate Ligament), Sani berasakan pada mulanya ia satu bebanan yang besar.
Ditambah dengan dua kekalahan berturut-turut semenjak memikul tanggungjawab berkenaan, Sani berharap dapat menebus kembali kepercayaan yang diberikan jurulatih, Jacksen F. Tiago.
“Mula-mula memang rasa bimbang kerana sebaik sahaja saya menjadi ketua pasukan, kami kalah dengan PKNS dan kemudian di tangan Kuala Lumpur.
“Mujur kami berjaya mendapatkan satu mata ketika bertemu Kedah, jadi saya mahu menjadikan JDT II sebagai kemenangan pertama semenjak saya dilantik secara rasmi selaku kapten.
“Saya mahu jalankan tanggungjawab dengan baik dan memastikan maruah pasukan ini kembali dihormati,” katanya.
Pulau Pinang perlu mengelakkan kekalahan di Pasir Gudang malam ini dan seandainya berjaya meraih tiga mata, mereka boleh kembali berada di anak tangga ketiga jika PKNS seri atau kalah kepada NS Matrix di Seremban.
Dalam masa sama, T-Team juga berdepan ranjau yang sukar di Likas bertemu Sabah sementara Kedah pasti akan diberi tentangan sengit oleh Kuala Lumpur.
Print