Bersatu demi Pulau Pinang! – Presiden FAP

dsnaMENANG… kekal, SERI… bergantung kepada nasib dan KALAH… Selamat kembali ke Liga Perdana, itu rumusan paling mudah untuk difikirkan oleh pasukan dan peminat bola sepak Pulau Pinang menjelang perlawanan terakhir Liga Super berdepan Terengganu di Stadium Bandaraya.

Ternyata pada aksi terakhir ini, Pulau Pinang masih boleh mengawal nasib mereka sendiri namun untuk menewaskan Terengganu yang turut impikan kemenangan bagi kekal dalam saingan Liga Super musim depan, ketua jurulatih, Nenad Bacina perlu rangka strategi luar daripada kebiasaan untuk menang. Segalanya sudah tidak menjadi buat Pulau Pinang sejak tewas 2-3 kepada Kelantan pada 16 Ogos lalu dan skuad Harimau Kumbang sudah kehausan kemenangan dalam empat perlawanan terakhir Liga Super.

Orang yang sudah tentu paling pening kepala memikirkan nasib pasukan ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff, yang bingung melihatkan prestasi pasukan walaupun bermula baik di awal pusingan kedua Liga Super. Enggan lagi memikirkan apa yang terjadi sebelum ini, beliau mahu memandang ke depan dan mahu pasukan Pulau Pinang berjuang bermati-matian demi lencana di dada pada aksi terakhir yang menjadi penentu masa depan pasukan.

Malahan, dia menggesa seluruh peminat bola sepak Pulau Pinang kembali bersatu hati dan turun beri sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad Harimau Kumbang di Stadium Bandaraya, 22 Oktober depan.

_mg_8691       _mg_8706_fa-penang       _mg_8772_fa-penang

“Sudah tentu saya sangat-sangat kecewa apabila kita kalah dengan Pahang di Kuantan dan dalam masa yang sama, saya juga terlalu sedih dan simpati dengan penyokong-penyokong yang datang dari jauh, bersama anak-anak kecil serta ada antara mereka berdepan pengalaman memeritkan bila saya dapat tahu ada satu bas bawa penyokong kita rosak di tengah jalan.

Kekalahan itu jelas membuatkan kita berada dalam situasi getir untuk kekal di Liga Super kerana wajib menang pada perlawanan terakhir dan pemain-pemain pasti akan beraksi dalam tekanan. Namun, nasihat saya kepada seluruh pemain dan penyokong, ayuh kita pandang ke hadapan kerana kita masih boleh mengubah nasib kita pada 22 Oktober ini, perkara yang lepas, pahatkan memori itu sekadar menjadi satu kenangan untuk kita bangkit.

Kaji balik apa kelemahan kita dan jadikan perkara itu sebagai satu pengajaran supaya kita tidak lakukan bila turun menentang Terengganu. Saya memohon, saya merayu agar semua penyokong kita turun ke Stadium Bandaraya jika masih cinta dan sayang kepada bola sepak Pulau Pinang, pemain kita amat menagihkan sokongan anda semua,” katanya.

Dalam masa sama, beliau akan cuba mendapatkan penjelasan terkini daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Bojan Hodak, terhadap laporan prestasi pasukan yang dilihat secara mendadak merudum.

“Saya tahu ramai peminat persoalkan mengenai prestasi pasukan, biar saya dapatkan penjelasan daripada Bojan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kesimpulan,” katanya.

Print