
Bakal berdepan Kuantan FA, yang dilabel sebagai pasukan adik kepada Pahang FC, kemampuan skuad bimbingan Zulhamizan Zakaria ini tidak wajar diperlekehkan.
Membelasah Sabah 4-1 selain berjaya mengikat Negeri Sembilan 1-1 di laman lawan, Pulau Pinang nyata perlu mengambil serius Kuantan FA terutama kemampuan beberapa pemain import mereka yang menarik perhatian.
Justeru, ketua pasukan skuad Harimau Kumbang, Mohd. Rafiuddin Roddin mengingatkan kepada rakan sepasukannya, masa untuk meraikan kejayaan pertama Liga Super membenam Pahang sudah berakhir dan kini perlu fokus pada pusingan kedua Piala FA.
“Siapa tidak gembira bila berjaya mencatat keputusan sebegitu rupa tambahan itu tiga mata kami pada saingan Liga Super setelah sekian lama. Namun, itu cerita pada Selasa lalu dan kami bakal beraksi pada kejohanan berbeza iaitu Piala FA yang sememangnya jadi salah satu sasaran utama kami mendapatkan trofi.
Jangan pandang rendah kemampuan lawan walaupun mereka bermain di Liga Perdana tetapi belum tewas dalam dua perlawanan setakat ini.Saya waspada dengan pemain import nombor lima mereka (Ljubo Baranin) yang punyai satu senjata rahsia iaitu balingan bola yang kuat dan mampu jadi punca jaringan pasukan. Jadi, kami kena tangani perlawanan ini sama seperti mana kami menentang Pahang FC tempoh hari jika mahu melangkah jauh dalam Piala FA.
Bintang baharu import Harimau Kumbang, Osas Marvellous Ikpefua dijangka akan diturunkan 90 minit bertemu Kuantan FA selain kemungkinan pemain lain dikekalkan dalam kesebelasan utama.