Dua Qayyum Mahu Julang Pasukan Masing-Masing

qayyum captain presiden

PULAU PINANG – Kedua-dua kap­ten pasukan Piala Presiden Pulau Pinang dan Kelantan bukan sahaja berkongsi nama sama iaitu Qayyum tetapi turut mempunyai misi sama malam ini iaitu menjulang trofi untuk pasukan masing-masing dalam perlawanan akhir di Stadium Bandaraya, di sini malam ini.

Kapten skuad muda pasukan The Red Warriors, Mohd. Qayyum Marjoni Sabil, 21, berkata, misi merampas kembali piala yang kali terakhir mereka menangi pada 2013 bukan tugas mudah kerana sedar tentangan yang bakal dihadapi.

Katanya, mereka tidak boleh terlalu yakin meskipun mempu­nyai pengalaman bermain di pentas akhir pada 2013 dan muncul juara setelah menewaskan Perak 2-1.

“Kami sudah bersedia, namun menjangkakan peluang ialah 50-50 lebih-lebih lagi Pulau Pinang merupakan pasukan yang kuat dalam persaingan musim ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Mohd. Qayyum yang pernah ber­aksi dengan skuad Harimau Muda berkata, dia akan menggunakan pengalaman pada 2013 untuk membantu rakan-rakannya di atas padang supaya tidak gementar.

Kelantan pernah menjuarai piala berkenaan sebanyak lima kali iaitu pada 1985, 1995, 2005, 2011 dan 2013 manakala Pulau Pinang pada 2004.

Sementara itu, kapten Pulau Pinang, Abdul Qayyum Mohd. Jabrullah, 20, berkata, dia dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk tampil dengan persembahan terbaik walaupun rekod pertemuan musim ini lebih memihak kepada Kelantan.

Katanya, keputusan seri 2-2 di tempat sendiri dan tewas 1-3 di Kota Bharu dalam peringkat kumpulan tidak boleh dijadikan pengukur pres­tasi semasa.

“Ini kerana perlawanan akhir merupakan perlawanan berbeza dan sudah pasti dengan sokongan padu penyokong, kami akan mendapat suntikan semangat,” katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Kelantan, Mohd. Nafuzi Zain menganggap pasukannya sebagai underdog kerana akan beraksi di tempat lawan.

“Ketika mengambil alih pasukan ini pertengahan tahun ini, kami berjaya membaiki kedudukan dari tempat kelapan (peringkat awal) dan seterusnya ke perlawanan akhir. Sudah pasti saya berharap dapat julang piala malam esok sebagai pelengkap,” katanya.

Ketua jurulatih skuad tuan rumah S.Vello pula berkata, pentas akhir malam ini merupakan sesuatu yang dinantikan olehnya selama 11 tahun selepas kali terakhir menang pada 2004.

“Kami mahu meneruskan kebangkitan bola sepak negeri ini de­ngan menjuarai Piala Presiden selepas pasukan senior berjaya layak ke Liga Super musim depan,” katanya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dua-qayyum-mahu-julang-pasukan-masing-masing-1.129149#sthash.2X7am9dN.dpuf

Print

Copyright © 2017 Tun Mohammad Fadzrul Redza - Penang FA - All Rights Reserved.