Faiz Harap Sokongan Padu Penyokong

Bintang tempatan Pulau Pinang yang semakin menyerlah, Mohd. Faiz Subri, hanya mengharapkan satu perkara sahaja bakal berlaku pada Jumaat ini di Stadium Bandaraya iaitu kehadiran penonton yang lebih ramai dalam aksi berdepan bekas pasukannya, T-Team.
Berasakan lebih bersemangat jika bermain di hadapan ribuan penyokong yang lebih ramai, pemain yang meledak tujuh gol bersama Penang Panthers kini berazam mahu memberikan tiga mata bagi merapatkan jurang dengan T-Team di tangga teratas.
Paling istimewa, sekiranya mereka berjaya menewaskan pendahulu Liga Perdana itu, ia akan menjadi hadiah perayaan terbaik kepada seluruh peminat bola sepak Pulau Pinang memandangkan ia adalah aksi yang terakhir di Stadium Bandaraya pada bulan Ramadan.
“Tiada perkara lain kecuali hanya tiga mata sahaja menjadi harapan saya apabila berdepan T-Team kerana dengan cara itu peluang kami berada dalam kalangan dua pasukan teratas cukup cerah.
“Berdepan dengan bekas pasukan saya, mereka kali ini tampak sempurna daripada semua bahagian dan penyerang import mereka, (Farhod Tadjiev) cukup berbahaya di depan gawang, jadi peluang buat kami memang sukar untuk menang kali ini.
“Namun, saya percaya dengan komitmen yang ditunjukkan oleh rakan-rakan, kami cukup mahukan kejayaan pada kali ini untuk memastikan kami kekal dalam landasan yang tepat dalam saingan Liga Perdana, ” katanya.
Tambah Faiz, yang meletakkan sasaran mahu menjaringkan 10 gol pada musim ini, yakin dengan kemenangan tiga kali berturut-turut yang dijelmakan oleh Pulau Pinang akan melonjakkan kembali semangat penyokong-penyokong selepas agak suram sepanjang Ramadan ini.
“Memang sebelum ini kehadiran penyokong dalam dua perlawanan ketika menentang SPA Putrajaya, begitu rendah dan saya difahamkan hanya sekitar 1,000 ribu lebih sahaja.
“Bagaimanapun, prestasi yang kami pamerkan dalam tiga perlawanan terakhir dengan mencatat jaringan yang banyak selain usaha promosi yang dibuat, saya cukup optimis penyokong akan turun lebih ramai kali ini di Stadium Bandaraya, saya harap paling kurang 5,000 akan turun, ” katanya.
T-Team sememangnya muncul pasukan paling digeruni kerana semenjak tewas pada perlawanan sulung Liga Perdana pada 6 Februari lalu, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner ini tidak pernah kalah sepanjang 12 perlawanan berikutnya.
Bekas penyerang Uzbekistan, Farhod Tadjiev, merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana dengan 14 gol dan berikutan prestasi hebat yang dipamerkan oleh pemain berusia 29 tahun ini bersama T-Team, dia menjadi salah seorang pemain yang sedang diintai oleh Pilihan Malaysia bagi menghadapi Liverpool pada 24 Julai depan.
Print