Faizat mahu terus buktikan…

_MG_0933_FA PenangJaringan sulung bersama Pulau Pinang ketika menentang Sarawak di Stadium Negeri pada 6 Ogos lalu masih terngiang-ngiang dalam ingatan penyerang muda, Faizat Ghazli. Rasa gembira kerana impiannya menjaringkan gol bersama pasukan negeri kelahirannya jadi kenyataan, kini semangat Faizat makin membara.

Berharap sentuhan jaringan mampu diteruskan ketika berdepan Kelantan, dia begitu mengharap dapat melakukannya di Bandaraya bersama ribuan penyokong Pulau Pinang. Tambah pemain berusia 22 tahun ini, dia berasakan prestasinya semakin meningkat daripada setiap perlawanan ke setiap perlawanan.

“Jaringan yang saya lakukan ketika berdepan Sarawak memang cukup manis sekali kerana setelah sekian lama mencuba, akhirnya kemarau jaringan terlerai. Apa yang saya pamerkan ketika di Kuching adalah yang terbaik setakat ini dan mahu momentum sama mampu berulang ketika menentang Kelantan jika saya diturunkan.

Tidak mahu memandang rendah terhadap kemampuan lawan, saya akan mencuba habis-habisan mencari jaringan buat pasukan serta penyokong setia Pulau Pinang,” katanya.

_MG_1123_FA PenangWalaupun sedar Kelantan pasti turun lebih bertenaga kerana sebahagian besar pemain utamanya direhatkan dalam aksi terakhir menentang Selangor dalam saingan Piala Malaysia, Faizat sama sekali tidak gentar.

“Secara psikologi, saya dan rakan-rakan tidak gentar dengan apa yang dilakukan Kelantan apabila mereka seperti menyimpan kuku semasa bertemu Selangor. Kami akan sentiasa bersedia dalam apa jua situasi dan ianya tidak menjejaskan hasrat kami untuk memburu tiga mata.

Kemenangan ini bukan sahaja cukup penting untuk kekalkan rekod tanpa kalah kami dalam enam perlawanan tetapi untuk terus jarakkan diri dari zon penyingkiran. Keyakinan kami kini makin memuncak dan saya mewakili rakan-rakan berharap puluhan ribu penyokong Pulau Pinang akan turun beri sokongan kepada kami,” katanya.