FAP sudah bagi laporan – Mohd Azizudin

IMG_2211

Tewas 1-3 di tangan Kelantan pada Sabtu lalu mengundang kritikan dan reaksi negatif sebahagian besar penyokong Pulau Pinang.

Malahan ada antara penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan di Kota Bharu mengamuk kerana kecewa lihat mutu permainan dipamerkan anak-anak buah Jacksen F.Tiago.

Situasi itu juga sebenarnya meresahkan kem pengurusan pasukan selepas lima perlawanan, rentak yang dipamerkan Pulau Pinang cukup membimbangkan.

Pengurus pasukan, Mohd Azizudin Mohd.Shariff berkata, dia telah menghantar satu laporan rasmi kepada Exco Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) berhubung prestasi pasukan.

DSC_0306

“Sebaik perlawanan tempoh hari,saya ada buat satu laporan terhadap prestasi pemain-pemain untuk dinilai oleh exco FAP termasuk pemain import. Bukan sahaja mengenai pemain,malahan saya turut beri pandangan terhadap prestasi jurulatih.

 Sekarang terpulang kepada pihak FAP untuk buat penilaian terhadap laporan yang telah dibuat bagi sebarang tindakan lanjut.

Memang di pihak saya, kami memahami apa isi hati penyokong dan cuba bawa masalah ini ke pihak atasan.” katanya.

Walaupun begitu, Azizudin kekal positif terhadap peluang pasukan berikan cabaran dalam saingan Liga Super musim ini. Semuanya kerana prestasi baik dipamerkan sebahagian besar pemain tempatan terutama bintang-bintang muda.

“Saya masih belum berputus asa dengan situasi yang berlaku sekarang kerana masih terlalu awal. Memang benar kita sudah tersingkir daripada Piala FA, jadi berikan fokus pada Liga Super.

Saya nampak ada kesungguhan tinggi daripada pemain-pemain tempatan kita dalam tiap perlawanan. Perkara ini buatkan saya yakin kita mampu berada sekurang-kurangnya di pertengahan liga musim ini.” katanya.

Pulau Pinang akan menerima kunjungan Sarawak yang masih belum menang lagi musim ini pada 5 April di Stadium Bandaraya.

Print