Fokus Jangan Lari!

Di saat satu ketika harapan tampak semakin layu, segala-galanya berubah dalam tempoh satu minggu buat Pulau Pinang yang kembali mendaki ke anak tangga kedua Liga Perdana.

Cerita kejayaan membelasah Sabah 4-0 di Stadium Bandaraya melengkapkan drama kegembiraan skuad Harimau Kumbang yang perlu diteruskan dalam dua baki perlawanan akan datang.

Orang paling gembira di sebalik apa yang berlaku sudah tentu Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Dato’ Seri Nazir Ariff Mushir Ariff, yang kagum melihat semangat juang pemain bangkit dalam situasi sukar setelah pelbagai masalah dalaman melanda pasukan.

Namun, beliau mengingatkan titik perjuangan pasukan belum berakhir kerana mereka wajib mendapatkan tiga mata semasa bertemu DRB Hicom FC, Selasa depan dan UiTM FC, tiga hari kemudian.

“Satu kemenangan yang boleh dianggap sebagai faktor pengubah Pulau Pinang untuk musim ini dan saya mahu menghamburkan pujian kepada pemain-pemain kerana beraksi bersungguh-sungguh.

“Walaupun pada mulanya nampak terlambat namun sekarang mereka kembali menghidupkan ruang ke Liga Super malah peluang kejuaraan Liga Perdana juga masih terbuka dan saya harap rentak positif ini berterusan.

“Nasihat saya kepada pemain-pemain kekalkan fokus kerana masih ada dua perlawanan yang kena harungi, kemungkinan apa yang kita rasai  hari ini boleh berubah, ” katanya.

Dua daripada jaringan Penang Panthers disumbangkan Mohd. Azinee Taib pada minit ke-49 dan 73 sementara Elias Sulaiman meledak pada minit ke-42 dan Faiz Subri, minit ke-61.

Kemenangan dengan margin empat gol berjaya meletakkan Pulau Pinang memintas T-Team menerusi kelebihan satu gol dan tiga mata di belakang pendahulu, Kedah.

Sementara itu, beliau juga memberikan kredit kepada pengendali Pulau Pinang, Jacksen F. Tiago yang berani mengambil risiko dengan menurunkan pemain-pemain tempatan mengepalai jentera serangan.

“Sebelum ini, Jacksen tetap membawa turun kesemua pemain import walaupun nampak ada beberapa daripada mereka kurang menyerlah.

“Bagaimanapun, setelah mengadakan perbincangan dengan pemain-pemain tempatan serta mendengar idea mereka, baharu nampak perubahan ketara dalam pasukan.

“Walaupun dua pemain import tidak diturunkan tetapi sekurang-kurangnya kita boleh nampak apa sumbangan yang boleh diberikan oleh pemain-pemain tempatan, ” katanya.

Print