Harimau Kumbang buru 3 mata di laman sendiri.

Harimau Kumbang mengharapkan ‘magic’ dari sentuhan taktikal Zainal Abidin Hassan untuk mengutip tiga mata penuh di halaman sendiri bertemu dengan The Red Warrior (TRW), Sabtu ini.

Zainal Abidin Hassan, berkata mereka perlu berhati-hati dengan penyerang lincah TRW, Mohammed Ghaddar yang sering mengucar kacirkan barisan pertahanan lawan. “Bagi saya Ghaddar, Badhri Razi, Indra Putra perlu diberi perhatian oleh pemain Harimau Kumbang supaya tidak ada langsung percubaan gol daripada mereka. Walaupun kami menang keatas Felda United sebelum ini, itu tidak bermakna kami boleh bermain sambil lewa kerana TRW bermain dengan tempo permainan yang laju,” katanya.

Ketiaadan tiga pemain import utama dibarisan pertahanan pada perlawanan sebelum ini kerana mengalami kecederaan tidak merosakan percaturan Zainal. Dengan kembalinya Reinaldo Lobo yang telah pulih dari kecederaan pasti akan memperkuatkan kembali barisan pertahanan Harimau Kumbang.

“Dua perlawanan akhir pusingan pertama Liga Super merupakan misi hidup-mati bagi menempah slot ke Piala Malaysia. Saya yakin dan pasti pemain akan memberi 100 peratus tumpuan kepada perlawanan menentang Kelantan Sabtu ini dan Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu depan di Stadium Negeri Pulau Pinang (SNPP), Batu Kawan,” katanya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari berkata SNPP perlu dibanjiri dengan penyokong setia Harimau Kumbang. “Kehadiran penyokong akan memberi suntikan semangat kepada semua pemain Harimau Kumbang untuk mencipta kemenangan. Saya menyeru kepada semua penyokong Harimau Kumbang untuk turun bersama-sama pada Sabtu ini bagi menghangatkan lagi stadium dengan sorakan gemuruh,” katanya ketika sidang media.

Print