Harimau Kumbang kembali rakus

Impian peminat-peminat Pulau Pinang untuk melihat skuad kesayangan mereka menang dengan kelebihan satu jaringan akhirnya tercapai apabila skuad Harimau Kumbang menumbangkan UiTM FC melalui keputusan 3-0 di Stadium Bandaraya.

Pemain import pujaan Penang Panthers, Lee Gil Hoon meledak dua jaringan pada minit ke-39 menerusi sepakan penalti sebelum menambah satu lagi gol, minit ke-79.

Gol terakhir disumbangkan tonggak di bahagian pertahanan, Darwira Sazan yang menanduk masuk bola sepakan bebas yang diambil Hilton Moreira pada penghujung permainan.

Ini merupakan pertama kali Pulau Pinang berupaya menang selain keputusan 1-0 atau 2-1 sekali gus kembali menyuntik kegembiraan penyokong Pulau Mutiara bahawa skuad kali ini masih mempunyai nafsu untuk memburu kejuaraan Liga Perdana.

Biarpun Pulau Pinang bermula sedikit perlahan pada perlawanan berkenaan, seperti biasa mereka menemui momentum pada 10 minit terakhir perlawanan yang menyaksikan dua jaringan terhasil.

Satu lagi perkara yang boleh dibanggakan, pintu gol Pulau Pinang akhirnya tidak dibolosi selepas enam perlawanan terakhir termasuk dua aksi suku akhir bertemu Pahang yang menyaksikan

Tiga mata itu meletakkan sekurang-kurangnya Penang Panthers kekal di tangga keempat dan terus rapat bersaing di belakang T-Team, Kedah dan Sabah dalam takhta perebutan liga.

Sebaik perlawanan berakhir, pengendali Pulau Pinang, Jacksen F. Tiago kelihatan tersenyum kepuasan kerana mereka mampu jua mencatat kemenangan selesa.

“Ini merupakan satu saat yang saya cukup gembira kerana bukan sahaja tiga mata malah kami menang melalui angka jaringan yang besar.

“Saya juga gembira kerana sumbangan pemain import seperti Gil Hoon dan Hilton begitu baik, jadi saya sudah pasti ia memberi motivasi buat mereka dan pasukan secara keseluruhannya.

“Kami berharap mampu menamatkan di tempat kedua selepas perlawanan dengan Negeri Sembilan seperti mana musim dahulu sebaik tamat pusingan pertama liga, persoalannya kini hanya masa kerana kami kekurangan satu perlawanan, ” katanya.

Namun, kemenangan itu terpaksa dibayar dengan harga yang mahal apabila tunjang di bahagian pertahanan, Reinaldo Lobo digantung dua perlawanan apabila mengumpul kad keenam.

Bagaimanapun, situasi itu tidak mencemaskan Jacksen yang berkata, dia masih ada pemain lain untuk diharapkan bagi menghadapi Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, minggu depan.

“Lobo disahkan tidak boleh beraksi dalam perlawanan itu nanti tetapi saya masih ada pemain lain yang boleh mengambil tempatnya.

“Memang lebih baik kalau dia boleh main cuma cara saya tidak guna kalau fikir sebegitu kerana benda sudah terjadi, lebih baik fokus terhadap pemain lain yang ada dalam pasukan, ” katanya.

Seorang lagi pemain, Rafiuddin Roddin juga kemungkinan besar tidak dapat diturunkan di Paroi ekoran masih belum pulih daripada kecederaan hamstring.

Print