Harimau Kumbang Mahu Mengaum!

Harimau Kumbang mahu mengaum

Pulau Pinang melakukan persiapan awal pra-musim 2016 dengan turun berlatih pada awal Disember lalu.

Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) menyasarkan sekurang-kurangnya untuk mendapatkan satu piala sama ada Piala FA, Piala Liga atau Piala Malaysia pada musim 2016 malah ketua jurulatih, Jacksen F Tiago bercita-cita mahu merangkul Piala Liga Super.

Dengan kemasukan empat pemain tempatan baharu, tiga pemain import baharu dan enam pemain muda dari skuad Harimau Muda bakal memperlihatkan keupayaan berlainan Harimau Kumbang bagi saingan musim hadapan berbanding musim ini.

Pelaburan sebanyak RM19 juta oleh FAP membuktikan bahawa persatuan itu serius untuk memberi cabaran sengit kepada semua pasukan dan kelab Liga Super 2016.

Pengendali Brazil itu yang baharu sahaja bersama Pulau Pinang pada musim ini berjaya membawa kembali pasukan kembali ke liga utama Malaysia selepas muncul naib juara Liga Perdana 2015.

Bakal menampilkan lebih ramai pemain muda selepas ini, sekurang-kurangnya enam pemain dari skuad Piala Presiden boleh dipanggil untuk memperkuatkan skuad utama sekiranya ada penggantungan ataupun berlakunya kecederaan panjang.

“Anak Jati Kembali”

Pengurus Pulau Pinang, Mohd Azizuddin Mohd Shariff berkata, kepulangan anak jati dari skuad Harimau Muda untuk memperkuatkan Harimau Kumbang berjaya memastikan pelan jangka pendek dan panjang FAP berjalan dengan lancar.

Katanya, pelaburan besar yang dilakukan oleh persatuan ada misi dan visinya dan bukannya dilakukan tanpa hala tuju dan tujuan.

“Asasnya kita menyasarkan pada 2017 atau 2018, Pulau Pinang diperkuatkan oleh hampir 100 peratus anak jati negeri ini dan proses itu sedang berjalan sedikit demi sedikit.

“Bagi musim 2016 pula, Pulau Pinang tidak mahu menjadi sebagai pasukan pelengkap semata-mata di Liga Super maka sebab itulah tiga pemain import baharu telah dibawa masuk untuk memperkasakan lagi pasukan ini,” katanya kepada Ultras Sinar.

Tiga import tersebut adalah Jose Tadeu (Brazil), Matias Cordoba (Argentina) dan Brent Griffiths (Australia) menggantikan Lee Gil Hoon (Korea Selatan), Hilton Moureira (Brazil) dan Alberto Goncales Da Costa (Brazil) yang digugurkan.

Manakala empat pemain tempatan baharu yang dibawa masuk untuk saingan musim hadapan adalah Nursalam Zainal Abidin (UiTM FC), Fitri Omar (Kelantan), Fauzan Dzulkifli (Felda United) dan Firdaus Muhammad (Kedah).

Enam pemain Harimau Muda yang kembali menabur bakti bersama pasukan negeri mereka adalah Faizat Ghazali, S Kumaahran, Jafri Firdaus Chew, Syamer Kutty Abba, Wan Rohaimi Wan Rashadi dan Mohd Hazrul Hafiz Zulkifli.

***Sumber : Sinar Online***

Print