Harimau Kumbang makin berselera!

_MG_1129_FA Penang_FA PenangPemain dan peminat Pulau Pinang harus ada dua sebab untuk gembira dengan kemenangan selesa 2-0 ke atas Sarawak di Stadium Negeri, Kuching. Pertama, tiga mata yang dibawa pulang menyeberangi Laut China Selatan akhirnya meletakkan skuad Harimau Kumbang pertama kali keluar daripada zon penyingkiran Liga Super semenjak pusingan kedua liga. Kedua, setelah sekian lama menanti, Pulau Pinang berjaya menamatkan permainan tanpa sebarang dibolosi pada musim ini.

Perasaan sama turut dikongsi oleh pengendali Pulau Pinang, Nenad Bacina, yang cukup puas kerana pasukannya beraksi dengan cemerlang sebagai satu pasukan dalam aspek bertahan.

“Banyak aspek saya mahu perkatakan pada malam ini, tetapi aspek paling penting ialah kita menamatkan permainan hari ini tanpa bolos. Ini kali pertama pasukan berjaya lakukan sedemikian, saya mahu ucapkan tahniah kepada pemain-pemain.

Bukan mudah mahu bermain di Sarawak buat mana-mana pasukan, termasuk pasukan besar seperti JDT, banyak pasukan terpaksa bergelut dapatkan mata. Mungkin lebih banyak gol kami boleh jaringkan namun dalam masa sama, pemain berjaya bertahan sebagai satu unit dengan penuh disiplin serta terancang.. tahniah kepada semua pemain,” katanya.

Kemenangan bermakna di Kuching tidak buatkan jurulatih dari Croatia itu mendabik dada bahawa Pulau Pinang sudah mampu selamatkan diri daripada zon penyingkiran. Sebaliknya, perjuangan masih jauh buat Harimau Kumbang kerana masih ada lima perlawanan terutama aksi sukar menentang Kelantan di Stadium Bandaraya, 16 Ogos ini.

_MG_1108_FA Penang_FA Penang“Memang saya gembira kerana menang di sini serta naik beberapa anak tangga di dalam carta liga tetapi kami belum selamat sepenuhnya kerana secara matematiknya, apa-apa boleh terjadi.

Kami mungkin boleh berada dalam kalangan empat pasukan teratas tetapi dalam masa sama, menamatkan saingan liga musim ini di kedudukan dua terakhir. Jadi, dalam satu atau dua hari ini, pemain berhak untuk raikan kemenangan ini namun bermula minggu depan, kami kena mula buat perancangan bertemu Kelantan,” katanya.

Dua pemain muda Pulau Pinang, Mohd.Faizat Ghazli dan S. Kumaahran meledak dua jaringan penting pada minit 14 dan 83 dalam aksi di atas padang yang basah bagi memastikan obor perjuangan kekal Liga Super terus bernyala. Kemenangan itu juga bukan sahaja yang keempat buat Pulau Pinang malahan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan.

Print