Harimau Kumbang sudah bersedia!

DSC_0539_wm_wm

Demam penantian penyokong Pulau Pinang untuk melihat aksi pasukan kesayangan di Liga Super akhirnya bakal terubat.

Aksi sulung berdepan Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak jadi titik tolak hala tuju pasukan pada persaingan Liga Super.

Walaupun dilanda sedikit kesuraman bila kuota seorang lagi pemain import di bahagian serangan jadi persoalan selepas Jose Tadeu digugurkan dan Charles Chad Souza membatalkan hasrat di saat akhir, ‘mood’ Pulau Pinang masih di tahap tertinggi.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff, lahirkan keyakinan setelah melihat persiapan menyeluruh pasukan, skuad Harimau Kumbang mampu mengaum garang.

Tonik utama kekuatan Pulau Pinang musim ini ialah kerana hadirnya beberapa pemain Harimau Muda seperti Jafri Chew, S.Kumaahran dan Mohd. Faizat Ghazli.

Capture“Persiapan pasukan saya nampak mantap dan keputusan cukup positif dipamerkan pada beberapa perlawanan persahabatan. Jacksen telah cuba lakukan yang terbaik pada pasukan dengan membawa masuk beberapa pemain tempatan yang boleh bantu kekuatan pasukan. Selain itu, lebih separuh pemain dalam pasukan ini sudah beraksi bersama dalam tempoh tiga musim,itu juga jadi satu kelebihan Pulau Pinang. Apa yang buat saya lagi teruja ialah kehadiran anak-anak muda berbakat Pulau Pinang, saya nampak mereka bakal jadi aset terpenting pasukan di masa depan. Saya cukup yakin pasukan mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari Kuala Terengganu pada perlawanan pertama liga.” katanya.

Difahamkan, pemain import yang bakal gantikan Tadeu di jangka akan diketahui tidak lama lagi setelah segala urusan perbincangan kontrak selesai.

Pemain tersebut mungkin dapat diturunkan pada aksi berdepan Pahang di Stadium Bandaraya.

Print