Hilang rentak selepas kecederaan – Faiz Subri

Faiz Subri

Selepas sepakan percumanya ketika menentang Pahang pada satu ketika dahulu jadi sebutan satu dunia, prestasi Faiz Subri tiba-tiba menjadi satu persoalan. Seperti kehilangan sentuhan, dia terpaksa diketepikan dalam beberapa perlawanan terakhir dan jurulatih, Manzoor Azwira sekadar memasukkan Faiz selaku pemain gantian. Peminat Pulau Pinang juga bimbang melihat apa yang terjadi kepada Faiz namun dia ada jawapan mengapa gagal cetus sebarang impak seperti mana musim lalu.

Menurutnya, dia masih tercari-cari rentak ekoran kecederaan tumit yang dialaminya semasa perlawanan berdepan Kelantan pada 12 Mac lalu.

“Saya faham ramai mempersoalkan mengapa saya bermain di bawah tahap sebenar sekali gus gagal membantu pasukan meraih keputusan lebih positif. Sebenarnya saya tengah bergelut lagi untuk mendapatkan kembali rentak sebenar sejak sembuh dari kecederaan di bahagian tumit.

Memang saya sendiri pun kecewa kerana segalanya tidak menjadi dan sekarang saya mahu dapatkan kembali keyakinan seperti dulu. Buat peminat, beri lah masa dan peluang untuk saya kembali mendapat sentuhan… Terima kasih di atas segala kritikan membina dan sama seperti harapan peminat, saya juga mahu membawa Pulau Pinang melangkah lebih jauh musim ini,” katanya.

13238891_1395814670444667_5903228251325618746_nMenentang Felda United pada Rabu ini di Stadium Bandaraya, Faiz menggesa rakan-rakan sepasukan yang diturunkan beraksi sehabis baik seolah-olah bermain di perlawanan akhir.

Hanya kemenangan sahaja yang mampu menjamin slot Pulau Pinang ke Piala Malaysia tanpa mengharapkan ihsan pasukan lain. Faiz optimis mereka ada kemampuan untuk kejutkan Felda berdasarkan semangat pemain yang beraksi kali terakhir di Stadium Bandaraya buat musim ini.

“Ini peluang terakhir kita untuk melakar sesuatu dan harap kita tidak terlepas peluang bermain di Piala Malaysia. Saya lihat berdasarkan komitmen yang ada pada rakan-rakan sepanjang latihan selain sokongan padu bakal diberi penyokong, kita mampu raih tiga mata yang amat berharga. Jangan terlalu gentar kepada pasukan Felda yang sekarang menjadi pendahulu liga sebaliknya kita harus yakin dengan kemampuan kita sendiri,” katanya.

Print