Hormat tetapi jangan takut! – Sani

_MG_0483_wmMemori kekalahan di minit terakhir masa kecederaan kepada JDT masih dirasai oleh penjaga gol, Sani Anuar Kamsani, yang berharap perkara sama tidak akan berulang di Stadium Bandaraya. Ketika mereka sudah bersiap sedia meraikan satu mata dalam aksi penuh mendebarkan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, jaringan lewat Safee Sali menghancurkan segala impian pemain skuad Harimau Kumbang yang bermain begitu cemerlang terutama Sani dalam perlawanan tersebut.

Sudah lupakan apa yang berlaku, dia lihat pertemuan di Stadium Bandaraya adalah satu medan berbeza terutama Pulau Pinang yang mendapat nafas baharu di bawah jurulatih, Nenad Bacina serta dibantu Bojan Hodak selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Ujar penjaga gol nombor satu Pulau Pinang terbabit, dia masih menghormati JDT yang dianggap pasukan terbaik di negara ini namun itu tidak bermakna mereka perlu berasa takut menjelang aksi kedua-dua pasukan, hari ini.

“Untuk beberapa tahun ini, saya rasa memang wajar untuk orang katakan JDT ialah pasukan terkuat di negara ini dan wajar dicemburui kawan serta lawan. Mereka nyata konsisten dalam setiap kejohanan kerana punyai ramai pemain terbaik dalam negara ini.

Cuma itu tidak bermakna kami selaku pasukan Pulau Pinang berasa gerun bila bersemuka di atas padang malah situasi berkenaan buatkan kami lebih bersemangat untuk melakar kejutan. Seandainya kami tewas kepada JDT sekali pun, biarlah ia secara bermaruah tetapi sasaran utama kami mahu mencuri mata di depan penyokong sendiri malah lebih baik kalau ia berakhir dengan kemenangan,” katanya.

_MG_2918_wmDalam masa sama, Sani akui dia sudah melupakan apa yang dilakukannya semasa perlawanan berdepan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Jadikan apa yang terjadi di sana sebagai pengajaran terbesar dalam kariernya, dia tidak menafikan aksi itu merupakan detik terburuknya sepanjang bersama Pulau Pinang.

“Dua musim bersama Pulau Pinang, saya rasa ramai tahu sejauh mana kemampuan saya dan kalau difikirkan balik memang itu perlawanan paling teruk saya dengan pasukan. Memang kadang-kadang ia ada berlaku dan saya tidak mahu perkara yang sama terjadi lagi pada perlawanan akan datang.

Nasib baik rakan-rakan membantu dalam perlawanan berkenaan dengan mendapatkan gol tiap kali lawan menyamakan kedudukan dan syukur kami mampu menang. Saya harap… saya dan rakan-rakan mampu beri hadiah paling bermakna kepada seluruh penyokong Pulau Pinang yang sentiasa berada di belakang pasukan ketika menang atau kalah dengan kemenangan ke atas JDT,” katanya.

Print