Import baharu memang “SEMPOI”..!

_MG_5692_wm_wmKehadiran dua pemain import baharu Pulau Pinang, Ranti Martins dan Jeong Seok-Min seperti menyuntik elemen kesegaran kepada pemain-pemain lain dalam pasukan. Menurut pemain sayap dan pertahanan kiri skuad Harimau Kumbang, Mohd. Fitri Omar, dia berasa gembira kerana dua tonggak terbaharu terbabit cukup berkualiti. Situasi itu secara tidak langsung tingkatkan moral rakan sepasukan yang turut berjuang bermati-matian ketika hadapi T-Team pada aksi terakhir Liga Super, Sabtu lalu.

“Memang terbaik Ranti dan Seok-Min… Memang “Sempoi”, apa yang saya boleh katakan, mereka berdua nyata berbeza daripada import yang datang sebelum ini. Seperti Ranti, dia memang seorang penyerang tulen dan tiap kali dia lepaskan percubaan, memang nampak klinikal serta berbahaya kepada penjaga gol lawan. Manakala Seok-Min, dia adalah seorang perancang terbaik dan tiap kali lakukan hantaran dari kawasan tengah, pasti buka peluang untuk kita lakukan percubaan berbahaya.

Dua pemain ini saya yakin mampu mengubah cabaran kami untuk bangkit daripada kedudukan tercorot Liga Super dan harap dapat menjelmakan sesuatu yang lebih positif ketika menentang Selangor,” katanya.

Selain itu, Fitri Omar pula gembira kerana diberi peranan sebagai sayap kiri, bahagian yang digemarinya sejak dulu berbanding di pertahanan kiri. Tambah Fitri, dia sememangnya seorang pemain yang ada naluri untuk menyerang dan lebih selesa bermain di posisi terbabit.

_MG_5771_wm“Saya sebenarnya tidak kisah bermain di mana-mana tempat tetapi kalau diberi pilihan, sayap kiri atau bahagian serangan menjadi pilihan. Semasa aksi berdepan T-Team, bila jurulatih (Nenad Bacina) letakkan saya di bahagian sayap kiri, saya cukup teruja dan berterima kasih diatas kepercayaan diberikan. Biarpun menentang Selangor nanti belum pasti di mana saya akan beraksi, saya harap akan terus diberi peluang bermain di tempat yang sama ketika bertemu T-Team,” katanya.

Fitri ketika mewakili MP Muar pada 2010 pernah diberi peranan selaku penyerang sebelum banyak diletakkan sayap kiri bila menyarung jersi ATM pada 2011 hingga 2014.

Print