Jacksen mahu bagi mesej.

  • Coach

Jika ditakdirkan kemenangan pada aksi terakhir di Stadium Darul Makmur dan Pulau Pinang masih tidak layak, pengendalinya, Jacksen F. Tiago tetap akan rasa puas.

Baginya, azimat perjuangan menentang Pahang adalah satu iaitu mahu berikan mesej kepada pencabar-pencabar lain di Liga Super pada musim depan yang mereka tidak boleh diperlekehkan.

Dia tidak kisah andai tersingkir daripada persaingan ke suku akhir Piala Malaysia kerana sasaran utama untuk layak ke Liga Super sudah tercapai.

“Pemain-pemain akan turun pada perlawanan terakhir tanpa sebarang tekanan namun tetap bersemangat untuk cuba raih tiga mata.

” Memang kami amat harap keajaiban untuk layak dan saya tidak mahu fikirkan apa yang akan terjadi di perlawanan satu lagi babitkan PDRM dan PKNS.

” Saya cuma mahu lakar kejutan sahaja bila bertemu Pahang di tempat mereka dan yakin kita ada ramuan untuk mencari kemenangan sekali lagi,” katanya.

Bagaimanapun, dia masih memandang tinggi Pahang yang dianggap pasukan terkuat di Liga Malaysia selain Johor DT.

Kejayaan 3-0 bertemu PDRM membuktikan Pahang ada karakter tersendiri untuk bangkit selepas tewas di tangan PKNS dan Pulau Pinang.

” Biarpun menang pada aksi terakhir itu tidak membuatkan saya rasa mahu cepat mendabik dada.

” Pahang sudah tentu tidak rela diaibkan sekali lagi di laman sendiri selepas kalah 1-4 kepada PKNS,” katanya.

Dalam masa sama, Jacksen menghadapi dilema apabila ramai pemain dilanda kecederaan termasuk Faiz Subri, Alberto Goncalves dan Mafry Balang selain ketiadaan Azinee Taib.

Ketiadaan ramai pemain di barisan serangan membuatkan Jacksen terpaksa bergantung kepada Mohd. Failee Mohd. Ghazli dan Mohd.Faisal Abdul Halim.

Sementara itu di bahagian pertahanan tengah,kemungkinan Darwira Sazan akan kembali beraksi menggantikan Mafry atau peluang diberi kepada Mat Saiful Mohd.

Print