Jacksen Sedia Undur Diri

Tumbang 0-2 kepada pasukan ketiga tercorot Liga Perdana, Kuala Lumpur memberikan tamparan hebat yang bukan kepalang terhadap pengendali Pulau Pinang, Jacksen F. Tiago yang sukar menerima hakikat melihat skuad bimbingannya beraksi longlai di Stadium Merdeka, semalam.

Kebanyakan pemain beraksi di bawah tahap sebenar dan tidak memberikan komitmen di atas padang lantas mengundang kekecewaan besar kepada Jacksen sehingga membuka ruang kepada skuad warga kota meraih kemenangan yang dianggap mengejutkan.

Situasi itu membuatkan jurulatih yang berasal dari Brazil berkenaan memikirkan untuk meletakkan jawatan sebagai salah satu pilihan terbaik kerana sekiranya itu yang terbaik buat pasukan memandangkan peluang ke Liga Super masih terbentang luas.

Dengan perasaan sedih, Jacksen mengakui sudah melakukan sedaya upaya untuk membantu pasukan namun keadaan tidak memihak kepada dirinya dan kekalahan di tangan Kuala Lumpur merupakan kemuncak terhadap segala permasalahan berkenaan.

“Saya tidak tahu hendak memperkatakan apa lagi dan memang kecewa dengan persembahan ditonjolkan oleh sesetengah pemain, peminat boleh menilai yang ada antara mereka tidak beri komitmen sepenuhnya di atas padang malah beraksi seperti tidak mahukan kemenangan.

“Pemain-pemain yang saya maksudkan itu biarlah peminat nilai sendiri, saya rasa semua orang boleh tahu jika mereka sentiasa mengikuti perkembangan pasukan dari awal musim lagi.

“Malah pada waktu rehat separuh masa pertama, saya sendiri telah menelefon Presiden (Datuk Seri Nazir Ariff) yang saya sedia mengundur diri sekiranya saya bukan orang  terbaik menaikkan kembali Pulau Pinang ke Liga Super.

“Semuanya bergantung kepada pihak pengurusan FAP pada masa sekarang, jika mereka mahu saya berehat dan beri laluan kepada orang lain, saya bersedia kerana segala-galanya belum terlambat memandangkan kita masih ada baki enam perlawanan, ” katanya yang ditemui selepas perlawanan, semalam.

Kira-kira 300 penyokong setia Pulau Pinang yang hadir sukar mengawal perasaan masing-masing sejurus tamat permainan kerana sukar mempercayai skuad kesayangan mereka bermain begitu longlai menentang Kuala Lumpur.

Kecaman yang hadir bukan terbit terhadap pemain dan jurulatih semata-mata tetapi turut melibatkan pihak pengurusan FAP sehingga situasi kelihatan panas seketika sebaik Kuala Lumpur menjaringkan gol kedua menerusi Pritam Singh pada minit ke-87.

Kekalahan itu jelas merupakan satu kerugian besar buat Pulau Pinang kerana terlepas peluang merapatkan jurang mata dengan dua pasukan teratas, Kedah yang seri 1-1 dengan PKNS di Stadium Darul Aman manakala T-Team dibelasah 1-4 oleh JDT II di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Tambah Jacksen, sekiranya aksi berdepan Kuala Lumpur merupakan yang terakhir buat dirinya, dia menasihatkan agar pencinta dan peminat bola sepak agar mengubah mentaliti yang terlalu meletakkan harapan kepada pemain import.

Situasi itu jelasnya bukan sesuatu yang baik kepada perkembangan bola sepak tempatan kerana segala-galanya bergantung kepada bintang import seolah-olah pemain tempatan tidak boleh melakukan apa-apa.

“Ada satu perkara yang kurang baik terhadap perkembangan bola sepak di sini iaitu peminat seperti menjangkakan pemain import seperti `superman’ yang boleh melakukan semua perkara di atas padang.

“Sebelum ini saya sudah katakan pemain import dan tempatan sama sahaja di atas padang kerana mahu beri peluang kepada pemain yang benar menyerlah daripada segi prestasi.

“Namun, apa yang saya perhatikan jika ada pemain import itu gagal menyerlah, mereka akan dikritik teruk walaupun punca kekalahan itu bukan daripada mereka, ” katanya.

Print