Jangan Bocor Lagi!

Kebanyakan peminat Pulau Pinang cukup bimbang menjelang pertembungan dengan PKNS di Stadium Shah Alam, pada Sabtu.

Semuanya gara-gara skuad Harimau Kumbang baharu sahaja dijinakkan PDRM 2-3 manakala PKNS masih segar dengan kemenangan 4-1 menumpaskan Pahang.

Secara logiknya, PKNS jelas layak dilabelkan selaku pilihan untuk menang dalam aksi dianggap hidup mati kedua-dua pasukan dalam Piala Malaysia.

Tewas buat Pulau Pinang bermakna selamat tinggal kepada Piala Malaysia dan boleh fokus kepada persiapan musim depan.

Namun orang besi Pulau Pinang, Mafry Balang tidak mahu pasukan terlalu awal kibar bendera putih kerana yakin mereka ada ramuan menyekat skuad The Red Ants.

Baginya, kekuatan PKNS banyak bergantung kepada aspek serangan balas dan mereka perlu berhati-hati semasa melakukan serangan.

” Semasa pasukan kalah 0-3 kepada PKNS, saya tidak dapat beraksi namun ada menyaksikan perlawanan itu.

“Apa yang saya boleh rumuskan strategi pihak lawan banyak guna aspek serangan balas dan kami tidak boleh terjerat lagi dengan biarkan kosong di bahagian tengah.

“Mereka ada banyak pemain yang pantas selain Patrick Ronaldinho dan Gabriel Guerra seperti Faiz Isa dan Mohd. Nazrin Syamsul Bahari,” katanya.

Bagi Mafry, bahagian tengah perlu diperkemas dengan punyai ramai pemain di posisi terbabit bila PKNS membuat serangan.

“Kami tidak boleh biarkan kesilapan sama berulang dan harap rakan mampu sama-sama bertindak tutup ruang kepada lawan dengan turun ke bawah.

” Jika kami mampu kurangkan kesilapan dan tajam dalam aspek penyudah, kami mampu bawa pulang tiga mata ke Pulau Pinang serta buka kembali peluang ke suku akhir,” katanya.

Print