Jangan buat Pulau Pinang Kambing Hitam..!!!

untitled-1“Jangan ingat Pulau Pinang akan berdiam diri dalam isu libatkan Johor DT dan PDRM, kami tidak rela hak kami bersaing di Liga Super pada musim depan dirampas begitu sahaja,” demikian tegas Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Nazir Ariff.

Jelasnya, Pulau Pinang akan lakukan apa sahaja jika peluang mereka bermain di Liga Super 2017 dilucutkan begitu sahaja sedangkan berdasar merit, mereka sepatutnya berada di kedudukan sembilan Liga Super, di atas Pahang dan PDRM.

Selepas pemain-pemain beraksi mati-matian pada perlawanan terakhir dengan Terengganu, beliau akui sebagai sesuatu yang zalim jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) membuat keputusan sebaik liga sudah tamat minggu lalu.

“Kami di FAP terkejut dengan apa berlaku malahan menyifatkan sebagai situasi yang cukup teraniaya kepada pasukan bola sepak Pulau Pinang. Bermula insiden Pahang diberi tiga mata percuma atas kesalahan Kedah menurunkan pemain yang digantung, kini kami tertekan sekali lagi bila mendapat tahu PDRM yang di bawah kami menuntut hak sama.

Di sini saya mahu persoalkan mengapa Peraturan Pertandingan 2013-2016, di dalam Bantahan 5.3.1, bantahan kelayakan pemain atau lain-lain bantahan hendaklah dihantar secara bertulis kepada Setiausaha FAM dalam tempoh 72 jam selepas tamat perlawanan tidak diguna pakai?

Namun, mengapa selepas perlawanan sudah dua bulan lebih berlalu, baru aduan ditimbulkan dan liga sudah habis, adakah ia adil kepada semua pasukan? Jadi saya harap FAM dan Jawatankuasa Tatatertib tolong ada budi bicara kerana sebarang tindakan mengenai isu perlawanan JDT-PDRM akan memberi kesan terlalu buruk kepada Pulau Pinang,” katanya.

PDRM pada Rabu telah buat aduan rasmi kepada FAM mengenai status Juan Martin Lucero yang diturunkan pada 16 Ogos lalu di Stadium Larkin, sedangkan dia sudah mengutip tiga kad kuning. Dalam perlawanan itu, JDT menang 4-0. Selain itu, beliau berkata perancangan Pulau Pinang juga tersekat terutama dalam memancing pemain berkualiti sama ada import atau tempatan ekoran status mereka tahun depan yang masih kabur.

Mahu diselesaikan secepat mungkin, Dato’ Seri Nazir mahu ada satu situasi menang-menang dalam hal berkenaan. “Kalau sudah berdepan kesukaran sebegini, apa maknanya Pulau Pinang beraksi dia Liga Malaysia jika hak kami dinafikan. “Saya yakin, jika keputusan antara JDT-PDRM nanti tidak akan memihak salah satu pihak, isu ini akan terus berbunyi untuk jangka masa lama, malahan mungkin akan sampai ke AFC atau FIFA. Untuk Pulau Pinang, kami juga pasti tidak berpuas hati jika diarahkan bermain di Liga Perdana pada tahun hadapan, jangan buat kami KAMBING HITAM, ini amaran saya!” katanya.

Print