Jangan Fikir Baki Perlawanan – Azrul

Peluang ke Liga Super mungkin nampak sedikit tipis tetapi pemain tengah Pulau Pinang, Mohd. Azrul Ahmad menegaskan,
tumpuan lebih baik diberikan daripada satu persatu perlawanan daripada memikirkan apa akan terjadi di penghujung musim.
Tegasnya, situasi itu hanya akan menimbulkan tekanan buat pasukan dalam menghadapi empat baki perlawanan ketika
Kedah dan T-Team semakin selesa menghuni dua tangga teratas Liga Perdana.
“Daripada memperkatakan mengenai peluang ke Liga Super musim depan, saya rasa lebih baik kita fokus mendapat tiga
mata dalam tiap perlawanan tanpa memikirkan kedudukan carta liga.
“Apabila liga bersambung selepas Hari Raya tempoh hari dengan baki tujuh permainan, ramai mahu kami mengejar
kedudukan dua teratas lantas beri tekanan kepada pemain-pemain.
“Jadi, saya harap perkara ini dapat dijadikan pengajaran dan biarlah kami beri fokus terhadap lawan yang ditentang,
bukannya mengenai carta liga, ” katanya.
Apa yang diperkatakan oleh Azrul itu berkaitan dengan kekalahan mengejut 0-2 di tangan Kuala Lumpur yang merencat
besar peluang skuad Harimau Kumbang merapatkan jurang dengan dua pasukan teratas.
Ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Kedah selain empat mata kepada T-Team, skuad Harimau Kumbang perlu
mengharapkan ada keciciran mata daripada dua pasukan ini selain wajib meraih 12 mata maksimum.
Dia yang mempamerkan aksi menyerlah bersama Mohd. Ridzuan Suhaidi di bahagian tengah pada perlawanan dengan JDT II,
 Jumaat lalu di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, dijangka akan terus berada dalam kesebelasan utama.
Tambah bekas pemain ATM dan Felda United ini yang lebih banyak beraksi di posisi bek kanan atau sayap kanan, dia mengucapkan berbanyak
terima kasih atas kepercayaan diberikan oleh jurulatih, Jacksen F. Tiago.
“Bukan sahaja jarang bermain di bahagian tengah namun dah lama saya tidak beraksi, jadi apabila mendapat tahu
nama disenaraikan, memang tekad mahu buat yang terbaik.
“Harap apa yang disumbangkan pada perlawanan lalu mampu meletakkan nama saya untuk terus kekal dalam kesebelasan
utama menentang NS Matrix, malam ini.
“Moral pemain kembali melonjak tinggi sejak kemenangan 3-0 ke atas JDT II yang memang tidak disangka-sangka oleh
kebanyakan pihak, ” katanya.
Print