Jangan Gentar Reputasi Sabah

Tidak dinafikan sebelum musim baharu Liga Perdana bermula, Sabah merupakan antara pasukan pilihan yang dilihat mampu menggondol kejuaraan musim ini apabila berjaya memikat dua pemain berkelas dunia, El Hadji Diouf dan Abdoulaye Faye.

Mereka semakin meraih perhatian apabila pernah berada seketika di carta liga pada perlawanan kelima namun kekalahan tidak diduga di tangan T-Team membuka ruang kepada Pulau Pinang memintas kedudukan skuad The Rhinos.

Justeru, aksi kedua-dua pasukan pada malam ini di Stadium Likas pasti menambat perhatian banyak peminat terutama dari kedua-dua negeri berkenaan dalam menentukan siapakah yang layak digelar jagoan Liga Perdana.

Bagi pengendali Penang Panthers, Jacksen F. Tiago, dia kekal berasa tenang untuk menghadapi Sabah walaupun ini adalah aksi rasmi kedua skuadnya di tempat lawan pada saingan liga.

Mengakui satu perbezaan beraksi di gelanggang lawan, Jacksen masih yakin pemain-pemainnya mampu menterjemahkan prestasi di Stadium Bandaraya di Likas, malam ini.

“Pembatalan perlawanan dengan NS Matrix baru ini tidak membimbangkan saya mengenai tahap kecergasan pemain-pemain kerana sepanjang sesi latihan, saya menerapkan corak intensiti tinggi supaya mereka kekal di tahap terbaik.

“Aksi dengan Sabah akan saya anggap sama seperti kami hadapi pasukan-pasukan lain biarpun semua orang tahu mereka ada pemain berkelas dunia, El Hadji Diouf.

“Walaupun dia bukannya sama seperti Hadji Diouf yang dahulu, bagi saya dia masih memberi pengaruh besar kepada pasukan dengan pengalaman dan skil yang dia ada.

“Namun, bukan sahaja yang kami perlu waspada tetapi semua pemain-pemain lain yang ada dalam pasukan Sabah, kami datang ke sini bukannya mahu meraih satu mata tetapi mahu membawa pulang mata penuh, ” katanya.

Penang Panthers mungkin patut berwaspada terhadap kehadiran dua lagi pemain import, Zayed Eamon dari Libya dan tonggak baharu dari Australia, Joel Chianese yang semakin menjadi semenjak kebelakangan ini.

Zayed menjadi penjaring gol tunggal ketika seri 1-1 dengan PKNS pada aksi terakhir di Likas, Jumaat lalu manakala Chianese meledak hatrik ketika The Rhinos tewas 3-4 kepada T-Team.

Pulau Pinang terbang ke skuad Negeri Bawah Bayu itu tanpa pertahanan kental, Darwira Sazan yang digantung satu perlawanan ekoran mengumpul tiga kad kuning manakala Hilton Moreira tetap dibawa bersama walaupun ditimpa sedikit kecederaan.

Mat Saiful Mohd dijangka akan mengambil posisi yang ditinggalkan oleh Darwira di pertahanan tengah manakala Rafiuddin Roddin akan kembali berada dalam perancangan skuad selepas beransur sihat.

Tiga mata wajib dipungut oleh anak-anak buah Jacksen jika tidak mahu membiarkan T-Team mencipta jurang di tangga teratas yang dijangka tidak berdepan banyak masalah untuk menundukkan UiTM FC di laman sendiri.

Print

Start a Conversation

Your email address will not be published. Required fields are marked *