Jangan harap orang tolong kita..!
Nenad Bacina

_MG_6942_wm“Kami tidak mahu bergantung kepada ehsan daripada pasukan lain, biar kami yang tentukan nasib kami sendiri,” itu tegas jurulatih merangkap pengurus Pulau Pinang, Nenad Bacina.

Biarpun masih selamat di tangga kesembilan walaupun tewas kepada Kelantan 2-3 pada 16 Ogos lalu selepas Terengganu meraih keputusan seri dan Sarawak pula tewas, Nenad menegaskan tidak mahu nasib pasukan itu ditentukan oleh pasukan lain.

Mahu menjadikan aksi berdepan Perak sebagai pemangkin semangat agar kembali bangkit untuk kembali mendaki carta liga, dia berharap pemain Pulau Pinang agar segera lupakan kekalahan 2-3 di tangan Kelantan.

“Tinggal empat sahaja lagi perlawanan dan sudah tiada pilihan lagi kecuali mencuba untuk menang dalam setiap perlawanan supaya kami dapat tentukan nasib dalam tangan sendiri. Jangan terlalu bergantung kepada keputusan perlawanan lain melibatkan pasukan-pasukan yang berada dalam zon penyingkiran, biar kami kekal dalam kelompok sepuluh pasukan terbaik Liga Super atas usaha kami sendiri.

Perkara ini saya sudah nyatakan sejak dari awal lagi semasa saya datang ke sini, kami mahu menamatkan saingan musim ini dengan kekal di Liga Super untuk tahun 2017. Jadi, pertemuan berdepan Perak pada Rabu diharap mampu menjadi titik tolak kebangkitan Pulau Pinang dan saya mahu penyokong dapat teruskan sokongan kepada pasukan,” katanya.

imagesPerak yang turut membuat rombakan barisan kejurulatihan seperti mana Pulau Pinang dengan membawa masuk jurulatih veteran, Karl Heinz Weigang, juga mempamerkan kebangkitan positif semenjak pusingan kedua Liga Super bila meraih tiga kemenangan, satu keputusan seri dan dua kekalahan.

Justeru, situasi itu pasti memberi cabaran hebat kepada Pulau Pinang tambahan perlu bermain di Stadium Perak, Ipoh dan berdepan ribuan penyokong The Bos Gaurus. Kelemahan di bahagian pertahanan ketika bertemu Kelantan, jadi perhatian Bacina yang harap mereka mampu belajar daripada kesilapan berkenaan.

“Memang agak ketara kelemahan di bahagian pertahanan pada aksi bertemu Kelantan tempoh hari dan kami akan cuba perbaiki masalah sedia ada. Kita telah melalui enam perlawanan dengan tiga kemenangan dan tiga keputusan seri, akhirnya pasukan kalah juga kepada Kelantan walaupun secara keseluruhan dalam perlawanan berkenaan, kami kuasai permainan.

Saya rasa kekalahan itu memberi kesedaran kepada pemain untuk bangkit pada perlawanan akan datang kerana perjuangan untuk keluar daripada zon penyingkiran belum berakhir. Bukan mudah untuk lalui empat perlawanan selepas ini kerana selepas Perak, kami akan bertemu PDRM, Pahang dan Terengganu,” katanya.

Bagaimanapun, Pulau Pinang boleh menarik nafas lega kerana Farisham Ismail sudah boleh diturunkan bagi membantu barisan pertahanan selepas tidak dibenarkan beraksi berdepan Kelantan atas status pemain pinjaman.