Jangan harapkan ihsan orang..!

_MG_0792

Tiada istilah layak ke Piala Malaysia melalui bantuan pasukan lain, itu tegas jurulatih Manzoor Azwira. Justeru itu, hanya tiga mata sahaja yang dicari oleh skuad Harimau Kumbang dalam aksi terakhir di Stadium Bandaraya pada Rabu ini.

Bagi Manzoor, dia mahu segala-galanya di bawah kawalan mereka sendiri dan tidak mahu bermain di Piala Malaysia atasa faktor nasib.

“Saya sudah beritahu pemain, tiga mata wajib dicari berdepan Felda jika tidak mahu terlepas beraksi di Piala Malaysia. Pemain juga melahirkan hasrat mereka yang tidak mahu tercicir daripada bersaing di Piala Malaysia, memang satu kerugian besar kalau terlepas dari saingan berprestij ini.

_MG_0833Malah, saya memberi peringatan jangan difikirkan keputusan perlawanan terutama yang membabitkan Sarawak dan Perak. Memang kami boleh layak walaupun tewas dengan Felda dan pada masa sama jika Sarawak juga kalah pada pasukan Perak. Namun saya tidak mahu kami melangkah ke saingan Piala Malaysia dalam keadaan sebegitu yang berdasarkan nasib semata-mata. Tambahan ini aksi terakhir di Bandaraya sebelum ditutup untuk dinaik taraf, jadi saya harap pemain dapat menghadiahkan sesuatu kepada peminat setia Pulau Pinang,” katanya.

Manzoor tetap yakin mereka mampu meraih mata biarpun tahu reputasi Felda selaku pasukan teratas Liga Super. Berdasarkan analisis pertemuan Perak dan Felda di Ipoh, Manzoor berasakan mereka mampu mengeksploitasi beberapa kelemahan lawan.

“Saya melihat ada ruang yang kami boleh gunakan apabila menentang Felda, jadi saya ada perancangan tersendiri. Jika Perak mampu meraih tiga mata, tidak mustahil kami juga mampu melakukannya. Selain itu, rekod Felda juga tampak kurang baik apabila bermain di tempat lawan, saya harap kami boleh dapatkan sesuatu malam esok,” katanya.

Print