Jom Gempur Sabah!

Biarpun Sabah dijangka akan turun tanpa pemain import malam ini, situasi berkenaan tidak memberi kesan psikologi terhadap jurulatih Pulau Pinang, Jacksen F. Tiago.

Tetap melihat itu satu kesempatan terbaik, Jacksen berharap momentum positif yang sedang melanda kem skuad Harimau Kumbang dapat diteruskan.

Malah, dia sudah berani meletak sasaran untuk mencatat kemenangan dalam baki tiga perlawanan akan datang.

“Memang ada dengar perkhabaran Sabah akan turun tanpa pemain import namun itu tidak boleh membuat kami terlalu yakin.

“Saya hanya tumpu kepada persiapan kami, sejak menang 3-0 dengan JDT II tempoh hari,  dapat rasakan ada aura positif sedang melanda pasukan.

” Formula kemenangan yang dicipta nampaknya menjadi setelah ada perubahan dalam kesebelasan utama.

“Sekarang tugas pemain-pemain ialah meneruskan kecemerlangan yang ada sambil mengharap tuah mengiringi Pulau Pinang,” katanya.

Di atas kertas, Pulau Pinang perlu mengharapkan UiTM FC menyekat T-Team daripada mendapat tiga mata penuh jika mahu terus menghidupkan peluang ke Liga Super.

Jika itu terjadi dan Pulau Pinang mampu mengatasi Sabah, kedua-dua pasukan akan terikat dengan pungutan 39 mata tetapi perbezaan gol akan menyebelahi The Titans.

Justeru, Jacksen menggesa selain memungut tiga mata, dia mengharap lebih banyak jaringan mampu terhasil.

“Dalam situasi sebegini, memang sekadar menang sahaja belum mencukupi tetapi jumlah jaringan turut mainkan peranan.

“Macam aksi berdepan NS Matrix tempoh hari, satu kerugian kami sekadar menang 1-0 walaupun beraksi dengan kelebihan seorang pemain dan harap mereka lebih tenang jika dapat peluang,” katanya.

El Hadji Diouf digantung dua perlawanan selepas mengutip kad kuning keenam ketika menentang PKNS, Selasa lalu.

Manakala tiga lagi pemain iaitu Joel Chianese, Ramon Zayed dan Abdoulaye Faye masih belum pulih daripada kecederaan.

Ditanya mengenai Alberto Goncalves Da Costa dan Lee Gil Hoon yang tidak diturunkan dalam dua perlawanan terakhir, Jacksen enggan berikan sebarang komen.

“Maaf, saya tidak boleh beri sebarang kenyataan mengenai mereka berdua, fokus saya sekarang hanya fikirkan mengenai pertemuan dengan Sabah,” katanya.

Print