Jom..! Mai sokong Penang..!

TIM_5817

Tanggal 3 September, sejarah akan tercipta di bumi Pulau Pinang bila mereka akan diuji pertama kali oleh kelab terkemuka Australia, Adelaide United.

Biarpun sekadar perlawanan persahabatan, kehadiran Adelaide United yang merupakan juara bertahan Liga Australia (A League) pada musim lalu, 2015/16 akan menguji karakter sebenar pemain-pemain Pulau Pinang.

Menurut Penolong Pengurus Pulau Pinang, Mohd.Nazim Ariff, harap aksi berdepan Adelaide akan jadi suntikan motivasi buat pemain skuad Harimau Kumbang bangkit daripada kesuraman prestasi.

“Seminggu selepas bertemu Adelaide, kami akan berdepan perlawanan yang dianggap amat penting bagi kami untuk keluar daripada zon penyingkiran iaitu menentang PDRM. Jadi, perlawanan dengan Adelaide ini dilihat tepat pada masanya kerana pemain akan tampil dalam aksi intensiti tinggi.

Selain itu, saya harap pemain mampu raih seberapa banyak pengalaman dalam perlawanan itu nanti kerana bukan senang sebuah pasukan berkualiti seperti Adelaide United mahu datang ke sini. Apa yang pasti, perlawanan dengan Adelaide akan jadi satu sejarah dalam bola sepak Pulau Pinang selepas sekian lama dan diharap seluruh peminat turun memberi sokongan di Stadium Bandaraya,” katanya.

Adelaide United merupakan naib juara Liga Juara-juara Asia pada tahun 2008 dan lima kali beraksi di kejohanan pentas tertinggi bola sepak Asia. Pulau Pinang dijangka akan menampilkan barisan terkuat bagi menghadapi Adelaide United kendalian pengurus, Guillermo Amor.

Print