Jumpa PKNS Tanpa Pertahanan Kiri

Tindakan kurang matang pemain pertahanan kiri, Mohd. Farid Ramli, pada aksi menentang T-Team, Jumaat lalu, yang menerima kad merah ekoran memukul Josip Milardovic, ternyata memeningkan pengendali Pulau Pinang, Jacksen F. Tiago.
Ketiadannya yang digantung dua perlawanan bermakna tiada lagi pertahanan kiri yang boleh bermain di posisi berkenaan bagi menghadapi PKNS pada malam esok di Stadium Hang Jebat ekoran pemain utama, Mohd. Rafiuddin Roddin juga sedang menjalani penggantungan satu lagi perlawanan.
Situasi itu menyebabkan Jacksen terpaksa memikirkan strategi baharu dengan cuba mencari seorang bidan terjun yang boleh bermain di posisi pertahanan kiri dengan pemain muda, Mohd. Redzuan Suhaidi menjadi alternatif terbaik.
“Saya tidak marah kepada Farid namun cuma rasa sedih dengan perlakuannya kerana menyusahkan rakan-rakan sepasukan yang lain sehingga mereka terpaksa berjuang dengan kekurangan seorang pemain ketika menentang T-Team dari babak pertama lagi.
“Tindakannya memukul pemain lawan bukan satu reaksi yang bagus kerana bukan begitu caranya jika dia tidak berpuas hati, apa salahnya dia beraksi lebih agresif terhadap pemain itu dalam baki minit perlawanan, itu baharu tindakan yang betul dan memberi keuntungan kepada pasukan.
“Ekoran tindakannya saya kini sudah tiada pemain yang sememangnya dikhaskan beraksi di posisi berkenaan pada perlawanan menentang PKNS kerana Along (Rafiuddin) juga masih digantung untuk baki satu perlawanan.
“Dalam latihan sebelum ini, saya nampak Wan Kecil (Redzuan Suhaidi) sahaja mampu bertindak di posisi berkenaan cuma saya kena fikirkan juga beberapa pilihan lain sebelum membuat keputusan muktamad, ” katanya.
Farid yang sebelum itu dikasari oleh Milardovic berpunca daripada perebutan bola tinggi pada minit ke-21, secara tiba-tiba melepaskan pukulan ke arah muka pemain dari Croatia berkenaan biarpun pengadil permainan telah memberhentikan permainan dan melayangkan kad kuning kepada Milardovic.
Sikap kurang profesional yang dipamerkan oleh bekas pemain JDT dan Sime Darby itu mengundang 1001 kemarahan penyokong-penyokong Pulau Pinang kerana merosakkan peluang terbaik pasukan mendapatkan kemenangan penting selepas menguasai sebahagian besar awal permainan.
Satu mata yang dipungut di Stadium Bandaraya ke atas pendahulu Liga Perdana bermakna Penang Panthers berada dalam situasi wajib meraih tiga mata penuh apabila berdepan The Red Ants jika tidak mahu keciciran jauh dengan Kedah dan T-Team yang akan bertemu sesama sendiri di Stadium Darul Aman.
Namun, situasi itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan memandangkan PKNS telah menerima semula kehadiran penyerang berbisa, Patrick Wleh Ronaldinho yang selesai menjalani penggantungan tiga bulan.
Ditambah masih segar dengan kejayaan membenam Kuala Lumpur, 4-0, PKNS pasti akan cuba menghidupkan peluang berada kelompok empat pasukan teratas bagi memburu tiket automatik ke Piala Malaysia memandangkan mereka kini hanya ketinggalan tiga mata di belakang Sabah.
Print