Kami akan bagi jiwa dan raga – Azrul

_mg_9074Kurang 12 hari lagi perlawanan terakhir Pulau Pinang, bertemu Terengganu, pemain berpengalaman, Mohd. Azrul Ahmad, meniupkan semangat di kalangan rakan sepasukan agar terus fokus bagi memastikan skuad Harimau Kumbang mampu raih tiga mata pada 22 Oktober ini. Tegas Azrul, mengungkit kembali prestasi pasukan dalam beberapa perlawanan lepas tidak akan mengubah apa-apa tetapi paling penting pandang ke depan supaya aksi terakhir musim ini dapat diakhiri dengan kejayaan.

Memahami kekecewaan dirasai penyokong, Azrul harap perlawanan terakhir ini akan dapat mengukirkan senyuman di setiap wajah mereka dengan hadiah kemenangan sekali gus memastikan Pulau Pinang kekal beraksi di Liga Super pada tahun depan.

“Saya dan rakan-rakan memang kecewa kerana Pulau Pinang berada dalam ambang bahaya untuk tersingkir ke Liga Perdana selepas gagal menang dalam empat perlawanan terakhir. Nasib masih menyebelahi kami untuk aksi terakhir kerana jika menang, kami masih mampu kekal dalam Liga Super tanpa ambil kira keputusan perlawanan lain.

Demi Pulau Pinang, kami semua berjanji akan main bermati-matian untuk memastikan tiga mata mampu dicapai di Bandaraya supaya impian kita untuk kekal di Liga Super, tercapai,” katanya.

_mg_8674Azrul berharap penyokong Pulau Pinang mampu memenuhi Stadium Bandaraya pada 22 Oktober ini supaya pemain bersemangat turun menentang Terengganu. Biarpun faham ada sesetengah penyokong sudah mula menjauhkan diri daripada pasukan dan paling keterlaluan mengecam Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Azrul mohon mereka mampu bersatu atas bendera yang sama pada perlawanan terakhir.

“Ini bukan masa untuk kita mengecam sesiapa terhadap apa berlaku dalam beberapa perlawanan terakhir dan kita masih diberi kesempatan untuk selamatkan kempen Pulau Pinang musim ini daripada tersingkir ke Liga Perdana. Jadi, turun ke Bandaraya bersama-sama pada 22 Oktober serta berikan sokongan tidak berbelah bahagi demi pasukan kesayangan kita,” katanya.

Azrul juga berharap akan diberi kesempatan beraksi pada perlawanan menentang Terengganu namun segala-galanya bergantung kepada perancangan jurulatih.

“Kalau diikutkan, peluang saya bermain sejak kebelakangan ini memang sedikit tetapi saya akan terus bekerja keras dalam latihan untuk buktikan kepada jurulatih, harap aksi dengan Terengganu, saya diberi kesempatan,” katanya.

Print