Karakter pemain menakjubkan!

_MG_6513Semangat inginkan kemenangan jadi tunjang kejayaan Pulau Pinang yang tiga kali bangkit sebelum mencatat keputusan 4-3 ke atas T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pada Sabtu.

Ketinggalan 1-0 sebaik dua puluh minit pertama permainan bermula hasil gol Patrick Cruz, dua tenaga import baharu, Ranti Martins dan Jeong Seok-Min nyata tidak mahu menunggu lama untuk beri impak kepada pasukan. Ranti meledak jaringan penyamaan pada minit ke-36 sebelum Seok-Min, pantas meledak dua lagi gol pada minit 59 dan 67, akhirnya Ranti muncul wira Harimau Kumbang bagi memadamkan gol penyamaan Patrick Cruz.

Ketua jurulatih, Nenad Bacina, menghamburkan pujian kepada pemain-pemain yang tidak kenal erti putus asa walaupun lawan dua kali menyamakan kedudukan.

_MG_5868“Saya kagum dengan apa dipamerkan pemain, mereka jelas tunjukkan karakter tersendiri dan mental mereka tidak cepat goyah walaupun lawan bangkit. Semangat ini cukup penting sekali gus memberikan keyakinan kepada seluruh pasukan bahawa harapan untuk keluar daripada zon penyingkiran semakin cerah.

Kita akan lalui tiga aksi di laman sendiri selepas ini, jadi saya harap momentum ini dapat diteruskan bermula menentang Selangor, minggu depan,” katanya.

Mengenai dua gol mudah yang dilepaskan penjaga gol, Sani Anuar Kamsani, Bacina anggap itu sebagai sesuatu yang lumrah kepada mana-mana pemain bola sepak. Tidak mahu cepat menghukum, dia harap Sani dapat memperbaiki kesilapan tersebut pada aksi akan datang.

_MG_6376“Memang dua gol pihak lawan berpunca daripada penjaga gol namun saya rasa, kadang-kadang ini memang terjadi.. ada naik dan turun prestasi seseorang pemain. Di sini saya memuji pemain-pemain lain yang cuba menutup kesan kesilapan Sani dengan kembali menjaringkan gol selepas itu,” katanya.

Bacina juga ingatkan semua pemain perjalanan pasukan masih terlalu jauh selain sasaran pasukan masih kekal iaitu mahu sekurang-kurangnya keluar daripada zon penyingkiran.

“Kita tidak mahu bercakap soal memburu enam tangga terbaik buat masa ini kerana semalam hanya satu kemenangan sahaja dilakar oleh kami. Ia memang satu perkara menggembirakan tetapi kami masih kekal di tangga tercorot, jadi kami tidak boleh terleka dengan tiga mata yang dibawa pulang dari tempat lawan,” katanya.

Print