Kekal positif hadapi JDT – Manzoor

Manzoor-AzwiraTidak ramai peminat meletak harapan buat Pulau Pinang membawa pulang sebarang mata apabila bertandang ke Larkin esok menentang juara bertahan, Johor DT.

Semuanya gara-gara prestasi merudum yang dipamerkan skuad Harimau Kumbang yang terus kemarau kemenangan sejak menang 4-1 kepada Pahang pada 12 Februari lalu.

Krisis keyakinan yang melanda pasukan membuatkan ramai tertanya-tanya mampukah Pulau Pinang menahan badai di Larkin ketika Johor DT sedang berada di prestasi terbaik tanpa sebarang kekalahan di Liga Super.

Jurulatih pasukan, Manzoor Azwira tetap tenang memikirkan cabaran pasukan sambil berharap pemain yang menggalas tanggungjawab di bahagian serangan mampu menterjemahkan peluang yang tercipta.

“Berdepan T-Team tempoh hari, kita dapat banyak peluang berbanding pasukan lawan namun kita tewas kerana penyudah kita tumpul. Bertemu Johor DT, sudah tentu nanti sukar kita hendak mencipta peluang kerana reputasi lawan yang cukup gah di tempat sendiri. Jadi, sekiranya kita dapat mencipta beberapa peluang, saya mahu pemain jangan mensia-siakan peluang itu jika mahu memunggut mata.

DSC_0844_wmMana tahu satu atau dua peluang yang kita miliki mampu mengubah keputusan permainan. Jadi saya mahu semua pemain kekal positif dan fokus kerana impian kami mahu beraksi di Piala Malaysia belum berakhir,” katanya.

Masih kehilangan Azrul Ahmad bagi hadapi Johor DT, hanya satu berita baik buat Pulau Pinang iaitu Brent Griffiths boleh diturunkan. Jelas Manzoor, dia yakin Azrul atau lebih dikenali dengan nama Cipeng, mampu sepenuhnya bermain pada aksi menentang Felda United.

“Saya masih belum dapat gunakan khidmat Azrul yang masih belum cergas sepenuhnya untuk turun beraksi dan mungkin perlu seminggu dua lagi. Selain itu, Redzuan Nawi yang alami kecederaan ligamen lutut kemungkinan pada bulan Julai atau Ogos akan cergas sepenuhnya. Sedikit kelegaan buat saya apabila Griffiths mampu bermain dan saya mungkin akan menggunakan khidmatnya,” katanya.

Print