Kekal Semua Pemain, Tiada Rombakan – Azizudin

Pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) dan staf kejurulatihan pasukan dijangka akan mengekalkan semua pemain import dan tempatan bagi menghadapi baki saingan Liga Perdana 2015, musim ini.
Perkara berkenaan disahkan oleh pengurus pasukan Pulau Pinang, Mohd Azizudin Mohd Shariff yang berkata, buat masa ini, Jacksen F. Tiago, tidak bercakap apa-apa terhadap sebarang rombakan dan berpuas hati dengan prestasi pemain-pemain setakat ini.
“Sehingga hari ini, jurulatih tidak beritahu sebarang keinginan untuk mengambil atau menggugurkan mana-mana pemain termasuk tonggak import, apa yang boleh simpulkan saya nampak tiada sebarang perubahan ketara dalam pasukan.
“Walaupun sebelum ini pihak pengurusan menyatakan kebimbangan terhadap prestasi pemain import, Jacksen ada perancangan tersendiri bagi mengatasi masalah itu bagi menghadapi perlawanan akan datang, ” katanya.
Dalam masa sama, Azizudin juga mengesahkan rundingan bagi mendapatkan bekas pemain kebangsaan yang beraksi di posisi pertahanan telah menemui jalan buntu.
“Mengenai rundingan dengan seorang pemain tempatan yang merupakan bekas pertahanan kebangsaan seperti mana diuar-uarkan sebelum ini, saya boleh katakan kami tidak akan mendapatkan pemain berkenaan.
“Ada sebab tertentu mengapa kami tidak mendapatkannya dan saya rasa dengan skuad sedia ada, Pulau Pinang mampu mencabar sehingga penghujung musim ini, ” katanya.
Kekalahan 1-0 kepada Sabah pada Jumaat lalu di Stadium Bola Sepak Likas mengundang kritikan hebat peminat-peminat setia Penang Panthers yang bimbang terhadap ketumpulan jentera serangan pasukan.
Selepas mengharungi tujuh perlawanan, anak-anak buah Jacksen sekadar membocori gawang lawan sebanyak lapan kali, terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan pencabar-pencabar lain seperti Sabah, Kedah dan T-Team.
Jacksen pernah menyatakan kebimbangan yang sama namun hasil perbincangan dengan pihak pengurusan, dia mengakui menemui formula tersendiri dengan melakukan rombakan terhadap taktikal pasukan untuk berdepan Pahang, malam esok.
Print

Start a Conversation

Your email address will not be published. Required fields are marked *