Kekalkan Rentak

Selepas rehat lebih 40 hari, Pulau Pinang ternyata masih belum hilang bisanya dalam mengharungi cita-cita selaku dua pasukan teratas Liga Perdana musim ini apabila mudah meratah SPA Putrajaya, 3-1 di Stadium Bandaraya, Jumaat lalu.

1655102_860481530687537_1670598108825656557_o

Aksi bertenaga yang ditampilkan oleh pemain-pemain ditambah dengan Alberto Goncalves Da Costa atau Beto kembali menemui sentuhan jaringannya dalam perlawanan berkenaan, dilihat menyuntik kembali keyakinan Penang Panthers bahawa mereka mampu mengejar kedudukan T-Team yang selesa berada di kemuncak liga.

Ditambah kegagalan Kedah meraih mata penuh semasa berdepan UiTM apabila kedua-dua pasukan seri 2-2, persaingan merebut tempat kedua kembali kedua buat Pulau Pinang dengan terikat 22 mata bersama Sabah dan Kedah.

Tegas Penolong Pengurus Pulau Pinang, Mohd. Nazim Ariff Nazir Ariff, tiada lagi sebarang alasan lain yang boleh diberikan pemain kecuali meneruskan rentak konsisten pasukan sehingga penghujung musim ini selepas mendapat rehat lebih daripada sebulan.

“Saya gembira melihat rentak yang dipamerkan oleh pemain-pemain pada perlawanan berdepan SPA Putrajaya baru-baru ini, mereka nampak cukupkan laparkan kejayaan dan ini sesuatu yang baik kepada pasukan.

“Harap sikap ini mampu diteruskan dalam perlawanan-perlawanan akan datang dan bertemu SPA sekali lagi malam ini, saya harap mereka ingat apa misi sebenar pasukan  iaitu mahu berada di Liga Super musim depan.

“Kami sudah tidak boleh keciciran sebarang mata lagi memandangkan T-Team serta beberapa pasukan lain seperti Kedah dan Sabah semakin konsisten, jadi tiga mata dalam tiap perlawanan merupakan sesuatu yang penting, ” katanya.

Pulau Pinang akan kembali mendapat sentuhan orang besi di bahagian pertahanan, Reinaldo Lobo yang selesai menjalani penggantungan dua perlawanan dan akan mengambil tempat Mafry Balang sementara Hilton Moreira dijangka kembali berada dalam kesebelasan utama.

Berdepan lawan yang sama dalam tempoh empat hari, ia sesuatu yang mencabar buat pengendali Jacksen F. Tiago namun Nazim yakin mereka mampu membuatkan peminat-peminat Pulau Pinang pulang ke rumah dalam keadaan senyum sebaik aksi 90 minit di Stadium Bandaraya berakhir.

Tidak memandang rendah akan kemampuan lawan untuk mengejutkan tuan rumah, Nazim mengingatkan kepada pemain-pemain bahawa semangat berpasukan bakal menjadi kunci kejayaan pasukan dan mahu keputusan pada Jumaat lepas mampu dilakukan sekali lagi.

“Pada perlawanan 19 Jun lalu, penonton yang hadir dalam seribu lebih dan apabila mengetahui kami menang, saya harap angka tersebut mampu meningkat lagi pada malam ini untuk memikat kembali perhatian peminat-peminat.

“Saya yakin jika pasukan mampu mendapatkan keputusan positif dalam tiap perlawanan, maka tiada alasan buat peminat kita untuk turun ke stadium, ” katanya.

10404374_860692033999820_5819409255606610850_n

Print