FA Penang Buat Laporan

Kemenangan besar 7-0 oleh pencabar utama Pulau Pinang bagi merebut salah satu slot ke Liga Super,T-Team ke atas SPA Putrajaya mengundang 1001 persoalan.

Tatkala soal perbezaan jaringan menjadi kunci utama bagi merebut tempat kedua Liga Perdana, aksi longlai pasukan tercorot Liga Perdana disambut perasaan kurang senang pihak pengurusan dan peminat setia Pulau Pinang.

Justeru, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang(FAP) telah membuat laporan rasmi kepada Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap aksi liga pada Selasa lalu kerana bimbang penularan gejala mengatur perlawanan.

Melalui Naib Presidennya, Datuk Gary Nair, beliau mengemukakan aduan kepada Ketua Jabatan Integriti, Osman Bakar agar perkara itu disiasat oleh FAM.

“Setelah berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi dan mendapat restu Presiden, Datuk Seri Nazir Ariff, kami bersetuju memanjangkan perkara ini kepada pengetahuan FAM.

” Bukan mahu menuduh sebarangan tetapi apabila jaringan-jaringan yang dihasilkan pasukan lawan nampak begitu mudah, seperti ada satu perkara yang tidak kena.

“Ini bukan satu semangat kesukanan yang baik oleh pasukan SPA ketika kami sedang bersaing dengan T-Team untuk merebut tempat kedua.

” Harap FAM menerusi Jawatankuasa Integriti dapat menyiasat dan sekiranya ada bukti, boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa,” katanya.

Sebelum aksi Selasa lalu, Pulau Pinang berada di tempat kedua dengan kelebihan satu jaringan ke atas T-Team setelah berkongsi 39 mata.

Kemenangan 2-1 berdepan DRB Hicom FC seperti tidak bermakna ekoran mereka kini ketinggalan jauh daripada segi jaringan di belakang T-Team.

Aksi terakhir Pulau Pinang menentang UiTM FC akan dilangsungkan di Stadium Hang Jebat manakala T-Team bertandang ke Stadium Darul Makmur bertemu Kuantan FA, esok.

Skuad Harimau Kumbang perlu mengharapkan T-Team seri atau tewas jika berhasrat ke Liga Super.

Sekiranya itu tidak berlaku, mereka kena mengharapkan Kedah dikalahkan oleh DRB Hicom memandangkan perbezaan jaringan menjadi milik Pulau Pinang sekiranya kedua-dua pasukan terikat 45 mata.

Print