Kemenangan ke atas Felda United kini sejarah.

Ketua jurulatih pasukan Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan menggesa semua pemain supaya kekal fokus untuk perlawanan Sabtu ini berdepan Kelantan di laman sendiri dan menganggap kemenangan menentang Felda United tempoh hari kini sejarah.

Pulau Pinang sememangnya sangat memerlukan mata bagi memperbaiki kedudukan di dalam Liga dan kejayaan menewaskan Felda United pasti menaikkan semangat kesemua pemain. Anak didik Zainal Abidin Hassan yang mempamirkan aksi terpuji tempoh hari tampak semakin bersemangat dan mula berada di landasan sebenar.

Zainal juga menyeru kepada semua penyokong setia Harimau Kumbang untuk turun dan memenuhi Stadium Negeri Pulau Pinang hujung minggu ini kerana sokongan dari “Pemain ke 12” pasti akan memberi impak yang luar biasa kepada pemain.

Rencana dan ramuan untuk menentang pasukan yang ketika ini berada di tangga keenam Liga pasti lebih teliti dengan kehadiran semula beberapa tonggak utama yang tidak dapat beraksi sebelum ini. Pulau Pinang masih menjadi penghuni di dasar liga dengan 5 mata tetapi ianya mungkin berubah jika pasukan mencapai keputusan positif Sabtu ini.

Print