Kenapa saya ambil Farisham?

WhatsApp-Image-20160713Pemburuan skuad Harimau Kumbang bagi memperkuatkan pasukan berakhir bila pertahanan berpengalaman Kelantan, Mohd. Farisham Ismail sah bergelar pemain Pulau Pinang.

Farisham bukanlah satu nama yang asing buat Bojan Hodak kerana mereka berdua pernah bekerjasama semasa pengendali dari Croatia itu di Kelantan pada 2012 dan 2013.

Jadi, Bojan sememangnya mengetahui kualiti yang ada pada Farisham yang diharapkan mampu perkuatkan lagi barisan pertahanan pasukan yang tampak begitu longgar sepanjang pusingan pertama Liga Super.

Jelas Bojan, dia dan jurulatih, Nenad Bacina berpendapat Farisham mampu memberi pilihan kepada barisan pemain sedia ada seperti Mafry Balang, Reinaldo Lobo dan Jeong Seok-Min.

“Seperti mana saya perkatakan sejak dulu lagi, bahagian belakang Pulau Pinang memang cukup membimbangkan kerana tidak ramai pemain di posisi berkenaan. Jika Mafry mengalami kecederaan, siapa lagi yang akan bertindak selaku `stopper’ dalam pasukan?

Sebab itu sebelum ini saya membawa masuk Seok-Min dan sekarang Farisham, sekurang-kurangnya mewujudkan persaingan serta kita tidak cemas jika Mafry tidak boleh turun beraksi,” katanya.

CaptureMengenai kualiti yang ada pada Farisham, Bojan berkata statistik menunjukkan segalanya bahawa dia seorang pemain yang cukup berpengalaman. Bukan sahaja pemain yang berani dan tenang, Farisham juga mampu membimbing rakan sepasukan di atas padang untuk berdepan lawan.

“Saya rasa peminat terutama yang mengikuti bola sepak Kelantan tahu kelebihan yang ada Farisham malah dia jadi tulång belakang kekuatan pertahanan pasukannya. Dia seorang pemain yang bijak membaca gerakan bola dan pengalamannya pasti akan beri kelebihan besar kepada Pulau Pinang,” katanya.

Bojan dalam masa sama yakin ketiga-tiga pemain baharu ini mampu menyesuaikan diri secepat mungkin dengan pasukan biarpun menjalani latihan dalam tempoh yang singkat.

“Mungkin saya tidak sempat aturkan sebarang perlawanan persahabatan tetapi harap dalam satu ke dua perlawanan, mereka mampu sesuaikan diri dengan corak pasukan. Seok-Min dan Ranti nampaknya sudah bersedia untuk diturunkan bertemu T-Team pada Sabtu ini di Kuala Terengganu,” katanya.

Print