Khairul atau Remezey?

Harapan untuk melihat Sani Anuar Kamsani kembali mengawal gawang Pulau Pinang tidak kesampaian apabila dia masih belum pulih daripada kecederaan.

Ketiadaan Sani dijangka buka ruang kepada Khairul Amri sekali lagi namun enam gol yang bolos dalam dua perlawanan terakhir membuatkan ramai peminat mahukan seorang lagi penjaga gol, Remezey Che Ros diberikan peluang.

Jurulatih, Jacksen F. Tiago, masih berteka- teki siapa yang akan diturunkan mengawal kubu terakhir Pulau Pinang bagi mengawal asakan bertali arus juara bertahan, Pahang di Stadium Bandaraya pada aksi ketiga Kumpulan D.

Tambahnya, dia sudah ada bayangan penjaga gol akan diturunkan namun tidak mahu mengumumkan terlebih awal.

” Sama ada Khairul atau Remezey, saya sudah ada jawapan cuma bagi memastikan mereka fokus pada perlawanan, saya mahu umumkan petang perlawanan.

“Siapa pun yang akan terpilih, saya tetap nampak mereka berdua layak diturunkan cuma yang terbaik akan dipilih, “katanya.

Jacksen cukup resah berdepan Pahang kerana selain Sani, dia juga kehilangan dua permata pasukan, Faiz Subri dan Reinaldo Lobo selain Mazlizam Mohamad.

Ketiadaan Faiz mungkin daoat ditampung Lee Gil Hoon dan Alberto Goncalves Da Costa namun pengganti Lobo pasti sukar dicari ganti.

Menyembunyikan sedikit rasa resahnya, dia berharap Yong Kuong Yong atau Mat Saiful Mohamad, dapat mainkan peranan bersama Mafry Balang.

” Buat masa ini, saya masih terfikir bagaimana mencari penyelesaian kerana jika saya menarik Yong ke posisi pertahanan tengah, saya tiada pengganti di bek kanan kerana kecederaan Mazlizam.

” Kini, saya sedang fikirkan Mat Saiful beraksi di situ dan masih menilai, segalanya di saat akhir saya akan buat keputusan, ” katanya.

Pulau Pinang pernah bertemu Pahang sebanyak dua Kali pada aksi suku akhir Piala FA dengan satu seri,2-2 di Stadium Bandaraya dan kekalahan 0-2 tercatat di Darul Makmur.

Print