Kita boleh enam terbaik – Rafiuddin Rodin

IMG_1537

Hampir sebulan berehat dan pelbagai usaha dilakukan dalam bina kembali semangat berpasukan, Pulau Pinang sudah bersedia kembali membuka langkah dalam perjuangan Liga Super.

Menentang Sarawak di Stadium Bandaraya, Selasa ini, ketua pasukan Mohd.Rafiuddin Roddin akui tiada cara lain kecuali tiga mata mampu mengembalikan keyakinan pihak pengurusan dan penyokong Pulau Pinang.

Ditambah sasaran Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) perlu berada dalam kalangan enam teratas, Rafiuddin atau lebih mesra dengan nama sapaan Along, mereka perlu tampil dengan rentak lebih konsisten.

_MG_9644

“Kekalahan dengan Kelantan (12 Mac) pada perlawanan terakhir sudah dilupakan dan selepas lalui kem motivasi yang dibuat oleh pihak FAP, banyak perubahan yang saya rasakan telah berlaku.

Pemain seperti dapat satu semangat baharu untuk memulakan aksi dengan Sarawak dan saya yakin, kami pasti bermain lebih bertenaga di hadapan penyokong sendiri.

Memang tiada jalan lain kecuali tiga mata perlu dikaut oleh kami walaupun tahu Sarawak juga berada dalam tekanan mahu dapatkan tiga mata kerana belum pernah menang.

Secara realistiknya,saya rasa peluang pasukan berada enam teratas mampu dijelmakan jika lihat kekuatan pasukan secara keseluruhan, tiada apa yang mustahil,” katanya.

Satu-satunya kemenangan dicapai oleh Pulau Pinang pada aksi Liga Super ialah menang besar 4-1 ke atas Pahang selain dua keputusan seri dengan Perak dan PDRM.

Hanya pertahanan import, Reinaldo Lobo yang dijangka terlepas pertemuan dengan Sarawak kerana belum pulih daripada kecederaan.

Menurut Rafiuddin, semua pemain lain dijangka dapat beraksi namun diakui ketiadaan Lobo sedikit sebanyak beri kesan.

“Setakat semalam, Lobo sahaja tidak sertai sesi latihan dan memandangkan tinggal dua hari lagi perlawanan, saya rasa dia tidak akan turun. Memang ia pasti beri kesan kepada barisan pertahanan namun kita masih ada pengganti lain seperti Mafry Balang, Darwira Sazan dan Mat Saiful.

Jadi, saya harap siapa pun yang diturunkan, kami mampu pertahankan gawang kami daripada dibolosi.” katanya.

Sani Anuar Kamsani yang merupakan bekas penjaga gol Sarawak dijangka kembali jadi pilihan di gawang selain pemain import Australia, Brent Griffiths di bahagian pertahanan.

Print