Kita dah buang empat mata – Mamu Jacksen

IMG_9823 copy_wm

Jika semuanya berjalan lancar pada dua perlawanan lalu, Pulau Pinang sepatutnya mampu berada dalam kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super dengan sembilan mata.

Namun, apakan daya… disebabkan faktor kelalaian dan ketumpulan di jentera serangan, skuad Harimau Kumbang kempunan untuk mengumpul jumlah kemenangan lebih baik.

Jurulatih, Jacksen F. Tiago, berharap kesilapan yang serupa tidak terus berulang bila turun menentang Kelantan di Stadium Sultan Mohammad ke-IV.5R1A1360a_wm

Katanya, tidak mustahil Pulau Pinang mampu meraih kemenangan walaupun beraksi di laman lawan menentang skuad kendalian bekas jurulatih, K. Devan.

“Pada perlawanan dengan PDRM, kami sepatutnya boleh menang tetapi disebabkan kesilapan yang dilakukan sendiri dengan memberi sepakan penalti kepada lawan dan situasi sepakan bola mati, kami terpaksa bangkit untuk dapatkan satu mata.

Memang satu kerugian selepas berhempas pulas berada di depan untuk jangka satu waktu yang lama.

Berbeza dengan aksi menentang Perak, kami gagal memanfaatkan banyak peluang terhidang yang boleh membunuh terus semangat lawan. Jadi bila mereka berjaya dapat gol penyamaan, peluang kami untuk bangkit nyata sedikit sukar dan sekali lagi sia-siakan peluang raih tiga mata penuh.

Jadi, saya harap dua masalah sama tidak terjadi lagi dan kami mampu menumbangkan Kelantan bagi raih kemenangan kedua.” katanya.

Dalam masa sama, Jacksen akui kegagalan pemain import, Osas Marvelous Ikpefua beraksi dengan konsisten buatkan dia berdepan tekanan daripada penyokong.

Namun, dia menerima perkara berkenaan sebagai satu tanggungjawab selaku jurulatih yang memilih kehadiran penyerang dari Nigeria itu gantikan tempat Jose Tadeu.

Bagaimanapun, dia jujur berasakan prestasi pemain di atas padang adalah perkara di luar kawalannya kerana sebelum ini dia tahu begitu banyak prestasi pemain terbabit semasa beraksi di Liga Super Indonesia.

“Sebagai individu yang membawa dia datang ke sini, saya tahu ramai akan tuding jari pada saya sebagai punca terhadap apa yang berlaku. Cuma, satu perkara yang saya boleh beritahu bila bawa dia ke sini, saya telah kenal corak permainan dia dan bukan sengaja bawa tanpa sebarang tujuan.

Bagi dia masa untuk beberapa perlawanan lagi, saya yakin dia mampu menyinar dan beri kesan besar pada pasukan.” katanya.

Print