Langkahan Makin Jelas Ke Separuh Akhir

Satu gol berharga yang dibawa dari tempat lawan meletakkan Pulau Pinang semakin menghampiri gerbang separuh akhir Piala Presiden selepas menewaskan Sime Darby 1-0 di Stadium Mini UKM, Bangi, petang semalam.

Mohd. Ikhmal Ibrahim muncul wira Pulau Pinang dengan jaringan menakjubkan pada minit ke-86 sekali gus mengejutkan tuan rumah yang diletakkan selaku favourite untuk memenangi pertemuan ini.

Jurulatih skuad Piala Presiden, S. Veloo menjadi orang paling gembira dengan kemenangan itu kerana meletakkan pasukannya kini selangkah ke separuh akhir untuk berdepan pemenang pertemuan PDRM dan Pahang.

Kini, mereka perlu memastikan langkahan cemerlang ini mampu diteruskan di Stadium Bandaraya pada pertemuan timbal balik suku akhir kedua pada 1 Ogos depan selain tidak boleh bersikap terlalu yakin.

Jelas Veloo, dia menghamburkan pujian kepada pemain-pemainnya yang tidak terburu-buru sepanjang perlawanan dan menunggu detik sesuai membunuh semangat perjuangan pasukan lawan dengan jaringan di minit akhir permainan.

“Syabas diucapkan kepada pemain yang berjaya mengikut taktikal seperti mana saya arahkan, bersabar dan berdisiplin sepanjang perlawanan, akhirnya gol hadir tepat pada masanya iaitu pada minit ke-86 menerusi Ikhmal bagi memastikan kemenangan pasukan.

“Jaringan daripada Ikhmal memang menarik dan saya boleh katakan antara yang terbaik sepanjang musim ini kerana ia memang berkualiti tinggi apabila dia melepaskan percubaan dari luar kotak penalti dari sudut yang sukar.

“Peluang semakin terbuka luas buat kami untuk mara ke separuh akhir tetapi saya mahu nasihatkan kepada pemain-pemain masih ada suku akhir kedua yang perlu diselesaikan, masih ada 90 minit kedua, ” katanya.

Tambah Veloo, Sime Darby sememangnya sebuah pasukan yang baik memandangkan mereka mempunyai beberapa bekas pemain Harimau Muda namun itu tidak memberikan sebarang kesan kepada psikologi pemain-pemainnya apabila beraksi di atas padang.

“Berdasarkan format suku akhir, kami sudah tidak boleh menurunkan pemain-pemain senior dari skuad Liga Perdana tetapi itu tidak menjejaskan secara keseluruhan permainan kami apabila turun bertemu Sime Darby.

“Walaupun kehilangan Mohd. Redzuan Suhaidi dan Mohd. Junaidi Shafiai yang diserapkan dalam skuad senior, kebanyakan pemain yang baru bersama dalam tempoh enam bulan ini berjaya membentuk keserasian yang baik.

“Biarpun di atas kertas Sime Darby tampak lebih baik kerana dibarisi ramai pemain Harimau Muda, itu tidak menghalang kami melakar kejutan paling penting pada aksi hari ini, ” katanya.

Print