Lega, tetapi belum berpuas hati – Manzoor Azwira.

DSC_0247Satu mata berjaya dibawa pulang dari Alor Star dalam tugasan sulung Manzoor Azwira bersama Pulau Pinang tetapi jauh di sudut hatinya, nyata dia belum berpuas hati secara keseluruhan permainan.

Paling membimbangkan ialah kelonggaran barisan pertahanan yang hampir buatkan mereka pulang gigit jari pada minit terakhir permainan namun mujur tuah menyebelahi skuad Harimau Kumbang.

Menurut Manzoor, keputusan seri dicatat itu sekurang-kurangnya menjadi pembakar semangat kepada pemain-pemain selepas kalah dua kali berturut-turut selain keputusan FAP merehatkan Jacksen F. Tiago.

“Kalau hendak kata puas hati itu, tidaklah sampai macam itu sekali namun keputusan seri ini jadi moral terbaik selepas apa yang dilalui pasukan sebelum ini. Memang banyak kelemahan lagi perlu diperbaiki dan saya pun diberi dua hari sahaja tempoh melakukan persiapan menentang Kedah selaku ketua jurulatih.

Jelas barisan pertahanan kita pamer kelemahan yang ketara bila terlalu membuka banyak ruang kepada lawan ketika melakukan serangan dan itu sesuatu yang perlu diperbaiki bagi menghadapi perlawanan akan datang,” katanya.

Tambah Manzoor, dia akui perjudian membawa masuk Jafri Chew dan Mohd. Faizat Ghazli selepas ketinggalan berbaloi kerana beri impak pada jentera serangan.

“Saya sedar kita memerlukan gol dan beritahu pemain jangan mengalah walaupun Kedah menjaringkan gol kedua. Memang saya rasa gembira bila mereka tidak berputus asa, usaha mereka akhirnya berbaloi bila gol penyamaan hadir sebelum perlawanan tamat,” katanya.

IMG_8990Pulau Pinang pamer karakter membanggakan bila dua kali bangkit daripada ketinggalan biarpun diasak bertali arus oleh Kedah di hadapan 9,000 penonton.

Liridon Krasniqi meletakkan Kedah pada minit 25 namun ketua pasukan, Matias Cordoba menyamakan kedudukan, enam minit kemudian.

IMG_9162Di babak kedua, Liridon terus jadi duri dalam daging buat Pulau Pinang apabila memanfaatkan peluang terbuka pada minit 61 sebelum Darwira Sazan akhirnya muncul penyelamat dengan gol penyamaan menerusi tandukan, empat minit sebelum permainan berakhir.

Mengulas mengenai keputusannya beri kepercayaan kepada Matias Cordoba selaku ketua pasukan yang baharu daripada Mohd. Rafiuddin Roddin, Manzoor jelaskan dia ada sebab tersendiri.

Selaku pemain tengah, Cordoba ada kemampuan mengawal pasukan serta memberi arahan yang jelas kepada pemain-pemain lain walaupun dia masih baharu bersama Pulau Pinang.

“Saya rasa itu bukan satu isu besar kerana apa yang saya perhatikan, Cordoba ada karakter tersendiri yang banyak mempengaruhi pasukan. Jadi, keputusan meletakkan Cordoba adalah kerana memudahkan dia beri arahan kepada pemain-pemain lain dan nampak ia beri perbezaan pada aksi malam ini,” katanya.

Kejayaan mengikat Kedah di Darul Aman sedikit diragut bila bas membawa pemain Pulau Pinang pecah dibaling batu segelintir penyokong yang tidak bertanggungjawab selain Marcos Cesar Domingues mengalami kecederaan ringan.

Print