Mafry Makin Selesa

Semenjak beraksi di bahagian pertahanan tengah, Mafry Balang secara tiba-tiba menjelmakan kebangkitan prestasi terhebat bersama Pulau Pinang dalam empat aksi terakhir Liga Perdana.

Bergandingan dengan Reinaldo Lobo, gawang Pulau Pinang langsung tidak dibolosi dan itu menjadi salah satu punca mengapa skuad Harimau Kumbang kembali mencakar pada babak akhir perebutan kejuaraan liga.

Berasakan bukan satu masalah besar bermain di bahagian pertahanan yang merupakan posisi asalnya ketika mula beraksi dengan Sabah, pemain berusia 31 tahun ini berharap kecemerlangan prestasinya mampu dikekalkan dalam dua aksi terakhir menentang DRB Hicom FC dan UiTM FC.

“Apabila jurulatih mengarahkan saya bermain di bahagian pertahanan tengah ekoran penggantungan Mat Saiful, saya langsung tidak berasa gementar.

“Walaupun dah lama tidak bermain selaku pemain pertahanan namun saya tidak ambil masa terlalu lama menyesuaikan diri kerana turut dibantu oleh rakan sepasukan kami di Sarawak, Sani Anuar Kamsani.

“Persefahaman saya dengan Reinaldo cukup baik malah memahami corak permainan antara satu sama lain, saya yakin gawang kami tidak dibolosi malam ini, ” katanya.

Kerap beraksi di posisi tengah bersama ketua pasukan, Mohd. Redzuan Nawi, pemain berasal Sipitang ini menjadi pemain yang paling kerap diturunkan oleh jurulatih, Jacksen F. Tiago musim ini.

Terkenal dengan aksi yang keras di atas padang, Mafry merupakan antara pemain paling digemari oleh peminat-peminat Sarawak sepanjang musim lalu.

Menyentuh mengenai peluang Penang Panthers untuk ke Liga Super, Mafry hanya mahu fokus terhadap satu persatu perlawanan sebelum memikirkan peluang untuk berada di tangga dua teratas.

“Sekarang peluang sudah berada dalam tangan kita dan semuanya terserah bagaimana cara kami menangani tekanan dalam dua aksi cukup yang bakal menentukan di mana kami akan berada musim depan.

“Harap kami tidak menghampakan semua peminat Pulau Pinang yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan sejak awal musim,” katanya.

Print