Mafry Mungkin Kembali

image

Setelah lompong di bahagian pertahanan bertemu PKNS dan tewas 0-3 , Pulau Pinang mendapat perkhabaran baik apabila orang besi, Mafry Balang sedia diturunkan pada aksi dengan PDRM, Sabtu ini.

Hampir pulih daripada kecederaan, Jacksen F.Tiago amat menagih khidmat Mafry yang pasti memberi kestabilan di bahagian pertahanan untuk bergandingan  bersama Reinaldo Lobo.

Tegas Jacksen, dia akan memantau secara dekat perkembangan bekas pemain Sarawak itu sebelum membuat keputusan sama ada menurunkan Mafry atau pemain lain seperti Yong Kuong Yong.

“Ketiadaan Mafry memang beri kesan terhadap persembahan pasukan di posisi pertahanan walaupun saya tidak nafikan penggantinya, Mat Saiful Mohamad berusaha keras mainkan peranan.

” Nampak Mafry boleh diturunkan cuma belum 100 peratus dan saya tetap tengok kemungkinan lain kerana Yong juga boleh beraksi di bahagian pertahanan, ” katanya.

Selain itu, dia mengesahkan Sani Anuar Kamsani tidak dapat beraksi bertemu PDRM di Stadium Shah Alam, situasi yang pasti membuka ruang kepada Khairul Amri beraksi sekali lagi.

Namun, Jacksen tidak terlalu awal menidakkan peluang Mohd. Remezey Che Rose yang turut mengintai peluang selaku penjaga gol nombor satu.

” Sani belum cergas sepenuhnya untuk bermain, jadi saya kena buat keputusan sama ada Khairul atau Remezey.

” Selepas memantau sesi latihan, baharu saya akan berbincang dengan rakan setugas untuk menentukan siapa yang terbaik.

“Jangan nafikan peluang Remezey walaupun sudah lama tidak beraksi kerana nampak dia semakin ada perubahan pada sesi latihan,” katanya.

Pulau Pinang perlu cuba mencuri satu mata di Shah Alam jika mahu terus  menghidupkan peluang mara ke suku akhir Piala Malaysia.