Maruah Di Bandaraya Tidak Tercemar

Biarpun gagal meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya, Pulau Pinang berjaya memastikan rekod tanpa kalah pada musim ini di Stadium Bandaraya masih kekal utuh apabila bangkit mengikat Pahang untuk keputusan seri 2-2.

Seperti biasa, Pulau Pinang terus menunjukkan permasalahan yang sama apabila gawang mereka dibocori dalam tempoh 15 minit permainan melalui dua jaringan penyerang import, Dickson Nwakaeme.

Namun, persembahan yang lesu di babak pertama berjaya diperbaiki oleh anak-anak buah Jacksen F.Tiago yang bangkit menyamakan kedudukan melalui Hilton Moreira yang sekali lagi muncul penyelamat melalui dua gol pada minit ke-76 dan 87.

Secara keseluruhan selepas kedua-dua perlawanan, Pahang menyingkirkan Pulau Pinang melalui keputusan agregat 4-2 hasil kejayaan 2-0 di Stadium Darul Makmur, 7 April lalu.

Sebaik sepak mula, Pulau Pinang  seperti bersemangat mendapatkan jaringan awal apabila memperolehi dua sepakan sudut dalam tempoh empat minit.

Bagaimanapun, situasi itu tidak kekal lama sebaik sahaja Dickson menghukum kerapuhan benteng Pulau Pinang yang gagal mengawal kemas pergerakan R. Gopinathan dari sebelah kiri sebelum dia melorongkan bola kepada pemain dari Nigeria itu untuk disudahkan pada minit keenam.

Jaringan itu membuatkan pemain-pemain Pulau Pinang seperti dalam keadaan tersentak kerana menyedari mereka perlu mendapatkan sekurang-kurangnya empat jaringan untuk menyingkirkan Pahang ekoran pelawat sudah mendapat jaringan di tempat lawan.

Belum sempat anak-anak buah Jacksen menyusun langkah, skuad Tok Gajah menggandakan kelebihan sekali lagi, lima minit kemudian melalui Dickson yang merampas bola dari pertahanan tuan rumah sebelum mudah menewaskan Sani Anuar Kamsani.

Api perjuangan pemain-pemain Penang Panthers bagaikan hilang seketika yang menyaksikan Pahang semakin bermaharajalela mengatur asakan bagi melebarkan kedudukan.

Matias Conti hampir mencetak nama selaku penjaring gol ketiga Tok Gajah pada minit ke-32 namun mujur tandukannya melepasi palang gol selepas menerima umpanan menarik dari Hafiz Kamal.

Sebaik separuh masa kedua bermula, jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan membuat keputusan merehatkan Dickson dan membawa masuk Fauzi Roslan, situasi yang menyebabkan serangan Pahang menjadi sedikit kendur.

Selepas melihat Alberto Goncalves Da Costa gagal memberi impak bersama Zharif Hasna, Jacksen membuat keputusan membawa masuk Azinee Taib dan Faiz Subri bagi menghidupkan kembali jentera serangan pada minit ke-70.

Kehadiran mereka berdua jelas mengubah tempo permainan dan akhirnya Hilton berjaya memecah kebuntuan melalui sepakan bebas menarik dari luar kotak penalti pada minit ke-76 yang menceriakan kira-kira 13,000 penonton yang hadir.

Gol itu menaikkan kembali `mood’ pemain-pemain dan hasilnya, Hilton memainkan peranan seperti mana ketika menang berdepan JDT II tempoh hari, memanfaatkan jolokan cantik Azinee Taib bagi memastikan maruah Pulau Pinang tetap terpelihara di Stadium Bandaraya walaupun harapan ke separuh akhir Piala FA tidak kesampaian.

Keputusan seri itu tetap disambut bermakna dan penuh kesyukuran oleh penyokong-penyokong Pulau Pinang walaupun terpaksa berbasahan ekoran hujan lebat pada tiga minit baki permainan.

Print