Masa Depan Semakin Cerah

Bermula tanpa sebarang harapan, skuad Piala Presiden Pulau Pinang ternyata membuka mata ramai pihak yang masa depan bola sepak di negeri ini berada di landasan betul apabila menempah tempat ke pentas final.
Menyingkirkan PDRM 2-1 secara agregat pada persaingan separuh akhir, Pulau Pinang hanya selangkah lagi mengulangi sejarah 11 tahun lalu dan bakal melakukan perhitungan akhir berdepan Kelantan, 28 Ogos di gelanggang keramat, Stadium Bandaraya.
Jurulatih Piala Presiden, S. Veloo menjadi watak penting di sebalik kejayaan berkenaan apabila mampu membentuk banyak permata dalam skuad ini yang langsung tidak diberi sasaran tinggi.
Menurut Veloo, dia sendiri bagaikan tidak percaya dengan apa terjadi memandangkan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2014 lalu, Pulau Pinang pernah tewas 1-7 kepada Kedah dan setahun berlalu, mereka sedang berada di perlawanan akhir Piala Presiden.
“Saya rasa cukup bangga malahan pemain-pemain rasa teruja kerana mereka dapat menunjukkan sesuatu kepada masyarakat Pulau Pinang kerana dapat beraksi di perlawanan akhir.
“Ini merupakan satu pencapaian yang cukup bermakna kepada karier saya kerana dapat membawa Pulau Pinang mara ke perlawananakhir dan harap kami  dapat membawa pulang kejuaraan.
“Kehadiran Presiden, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff dan anaknya, Nazim Ariff juga membuatkan pemain bersemangat tinggi dalam aksi separuh akhir kedua tempoh hari, ” katanya.
Biarpun apa yang terjadi pada perlawanan akhir nanti, kehadiran mereka di pentas Piala Presiden jelas satu petanda positif menjelang Sukma 2016 yang akan diadakan di Kuching, Sarawak.
Daripada 25 pemain yang berada dalam skuad Piala Presiden, hanya lima sahaja tidak boleh beraksi sekali gus menjadi satu amaran awal kepada pasukan-pasukan lain bahawa Pulau Pinang ada keupayaan mengintai pingat emas.
Bertambah membanggakan, dua pemain muda berusia 17 tahun, Mohd. Faisal Abdul Halim dan Iqbal Muhammad, menjadi sebutan atas aksi lincah yang dipamerkan di atas padang.
“Buat penyokong Pulau Pinang yang hadir, saya mengucapkan berbanyak terima kasih tidak terhingga dan paling terharu apabila saya mendapat tahu ada tiga orang penyokong sanggup turun dari Tasek Gelugor ke Padang Pulapol dengan menaiki motosikal biasa sahaja.
“Ini satu pengorbanan yang akan membuatkan pemain-pemain saya lebih bermotivasi menjelang perlawanan akhir kerana tahu semakin ramai yang menyokong di belakang mereka, ” katanya.
Print