Mat Saiful Makin Membara

Pada awal musim, kelibat Mat Saiful Mohamad bersama Pulau Pinang ternyata sukar dilihat ekoran posisi pertahanan tengah berjaya menjadi milik Darwira Sazan yang bergandingan baik bersama Reinaldo Lobo.

Bagaimanapun, berkat kesabaran pemain berusia 32 tahun itu, Mat Saiful kini menggalas watak penting di bahagian pertahanan ekoran Darwira ditimpa kecederaan serius iaitu ibu jari kanannya patah pada bulan lalu yang mungkin memaksa dia berehat sehingga penghujung musim ini.

Walaupun bermula sedikit perlahan dalam aksi pertama menentang SPA Putrajaya, Mat Saiful mula membentuk satu gandingan yang cukup ampuh bersama Reinaldo Lobo dan dia tampak semakin mendapat perhatian peminat terutama ketika menentang T-Team, Jumaat lepas.

Keadaan itu membuatkannya dia berasa amat bersyukur kerana berasa gembira khidmatnya masih lagi dimahukan pasukan dan paling mustahak, dia kembali beraksi dalam tiap perlawanan dan berharap mampu memenangi kepercayaan jurulatih, Jacksen F. Tiago.

“Rasa memang tidak sangka saya kembali bermain dalam kesebelasan utama memandangkan Darwira mendapat kecederaan dan saya mahu gunakan peluang ini untuk buktikan apa yang saya boleh beri kepada pasukan.

“Mula-mula bermain dalam masa penuh permainan dalam dua perlawanan awal menentang SPA Putrajaya itu, memang terasa sedikit bergelut namun perlahan-lahan saya dah mula rasa dapat keyakinan.

“Bermain dengan Reinaldo Lobo, soal keserasian tidak menjadi masalah besar kerana dia sudah mula memahami cara saya, begitu juga saya yang faham cara dia bermain dan harap persefahaman ini dapat dikekalkan dalam perlawanan-perlawanan akan datang, ” katanya yang merupakan salah seorang pemain skuad Pulau Pinang yang masih ada semasa beraksi dalam Divisyen Satu pada awal tahun 2000.

Mempunyai kekuatan pada aspek tandukan serta dikenali sebagai pemain yang keras, Mat Saiful dianggap sebagai pertahanan cukup berpengalaman selepas beraksi hampir 14 tahun dalam kancah Liga Malaysia dan pernah bermain dengan PBAPP FC pada separuh musim lalu.

Bertemu PKNS FC pada malam ini, Mat Saiful berharap mereka tidak perlu berasa terlalu gentar dengan kelibat Patrick Ronaldinho Wleh sebaliknya rasa yakin dengan kemampuan sendiri untuk memungut mata penuh di Stadium Hang Jebat.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan terhadap Patrick Ronaldinho, dia hanya mempunyai kekuatan pada aspek fizikal sahaja dan Reinaldo boleh menanganinya sepanjang permainan.

“Bermain dengan cara sendiri dan mengikut apa yang diperkatakan oleh jurulatih, saya rasa kemenangan mampu dicapai kerana kami tidak boleh keciciran sebarang mata untuk mengejar T-Team dan Kedah di tangga kedua teratas, ” katanya.

Print